Agensi pengurusan jemaah haji Malaysia itu mencatatkan keuntungan tertinggi pada 2015 sejak ia ditubuhkan 52 tahun lalu.
KUALA
LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) mengumumkan bonus tahunan pendeposit
sebanyak 5% dan tambahan Bonus Haji sebanyak 3% kepada pendeposit yang
belum menunaikan haji.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom
mengumumkan pembayaran bonus TH bagi tahun kewangan 2015 di sini, hari
ini.
Jamil Khir berkata, pembayaran kedua-dua bonus itu berjumlah RM3.236 bilion, berbanding RM3.237 bilon pada 2014.
Beliau berkata, TH juga mencatatkan keuntungan sebanyak RM3.35 bilion
pada 2015, iaitu tertinggi sejak ia ditubuhkan 52 tahun lalu.
Katanya, keuntungan TH tahun lalu itu juga meningkat 19 peratus berbanding RM2.98 bilion pada 2014.
“Daripada jumlah keuntungan itu, sebanyak RM59.3 juta akan digunakan
untuk membayar zakat manakala RM300 juta akan disimpan untuk rizab TH
selepas mengambil kira nasihat Bank Negara Malaysia (BNM) dan keadaan
ekonomi semasa,” katanya.
TH menjadi sasaran kritikan baru-baru ini selepas BNM menghantar
notis menegur penyusutan rizab dan nilai pelaburan yang merosot.
No comments:
Post a Comment