Merasakan masih terlalu muda untuk menerima gelaran Datuk memandangkan sumbangannya terhadap negara masih belum mencukupi.
PETALING JAYA: Khairy Jamaluddin mengakui kurang selesa apabila
diberikan gelaran dan pingat Datuk atas kapasitinya sebagai Ketua Pemuda
UMNO, Menteri Belia dan Sukan serta Ahli Parlimen.
Menurutnya, beliau lebih selesa untuk berkhidmat untuk rakyat dan
melibatkan diri dalam kancah politik tanpa sebarang gelaran, selain
merasakan dirinya belum pun ‘layak’ untuk menerima apa-apa gelaran.
“Kalau boleh, selagi saya dalam politik dan berkhidmat, lebih baik
saya berkhidmat tanpa sebarang gelaran…Saya Menteri Belia dan Sukan,
ketua pemuda, saya kekok bila ada gelaran..,” katanya dalam satu
wawancara bersama Harian Metro.
Bukan itu sahaja, Khairy turut merasakan beliau masih terlalu muda
untuk menerima gelaran Datuk memandangkan sumbangannya terhadap negara
masih belum mencukupi.
“Ia terlalu istimewa, saya melihat penerimanya mestilah kepada
seorang yang layak untuk menerima dan diri saya masih tidak layak.
“Sebab saya berumur 40 tahun, baru bermula kerjaya sebagai seorang
menteri selama tiga tahun dan saya tidak anggap apa yang dibuat selama
tiga tahun ini atau ahli Parlimen biasa melayakkan diri saya untuk
memegang gelaran Datuk,” ujarnya lagi.
Tidak terhenti di situ, Khairy merasakan budaya mengejar gelaran ini
bukanlah satu perkara yang baik untuk dijadikan contoh buat generasi
muda.
“Saya melihat ramai yang kejar gelaran yang mana saya rasa terlalu
muda tidak buat apa-apa dalam kerjaya mereka yang melayakkan mereka
memegang gelaran datuk.
“Sudah jadi budaya kejar gelaran, bagi saya benda ini bukan sesuatu
perkara yang baik untuk kita sampaikan kepada generasi muda,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment