ULASAN l
Berita rombakan kabinet yang akan berlaku dalam masa terdekat ini
memberi ruang kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk
melakukan reformasi kepada struktur kabinet sedia ada yang dilihat gagal
berfungsi.
Tiga reformasi kabinet;
1) Mengecilkan jumlah menteri di Jabatan Perdana Menteri
2) Melantik menteri kewangan sepenuh masa
3) Mengecilkan saiz kabinet kepada 20 perjawatan menteri penuh
2) Melantik menteri kewangan sepenuh masa
3) Mengecilkan saiz kabinet kepada 20 perjawatan menteri penuh
Kepimpinan untuk penggal kedua Najib pasca PRU ke-13 telah mula
berkuat kuasa pada 15 Mei 2013. Dari tarikh tersebut, dua kali rombakan
kabinet telah berlaku iaitu pada 25 Jun 2014 dan 28 Julai 2015.
Rombakan pada 28 Julai 2015 menyaksikan pemecatan Timbalan Perdana
Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Kemajuan Luar Bandar Dan
Wilayah Datuk Seri Shafie Apdal.
Antara 28 Julai 2015 dan penamatan tempoh perkhidmatan dua penggal
senator Datuk Seri Idris Jala pada 2 September 2015, kabinet Najib
mengandungi 37 orang menteri dan 32 orang timbalan menteri.
Pada tempoh tersebut, Jabatan Perdana Menteri telah mencatatkan
jumlah seramai 11 orang menteri penuh (tidak termasuk PM dan TPM).
Langkah reformasi pertama yang perlu dilakukan oleh Najib ialah
dengan mengecilkan jumlah terebut. Untuk rekod, jumlah menteri di
Jabatan Perdana Menteri sebelum PRU 13 hanyalah 5 orang sahaja! Mampukah
Najib lakukannya?
Atau setidak-tidaknya, dengan penamatan perkhidmatan Idris Jala dan
Tan Sri Abdul Wahid Omar, diharap tiada lagi penambahan perjawatan
menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Tambahan lagi, memandangkan tidak banyak yang dapat dilakukan oleh
Datuk Paul Low dalam mengangkat isu-isu integriti dan anti korupsi, saya
mencadangkan agar beliau bersara dari kabinet dan tiada perlantikan
baru dibuat bagi mengisi kekosongan tersebut.
Dari sudut yang lain pula, ‘panglima perang’ atau warlords Umno
seperti Datuk Seri Shahidan Kassim dan Datuk Seri Azalina Othman
bolehlah mempengerusikan jawatankuasa-jawatankuasa tertentu parlimen
untuk memainkan peranan yang lebih.
Tidak perlulah sehingga terpaksa ‘disumbat’ semahu-mahunya di Jabatan Perdana Menteri ini.
Mewujudkan jawatankuasa-jawatankuasa khas parlimen untuk memposisikan
warlord Umno bagi saya merupakan langkah ‘menang-menang’Najib untuk
mengawal sekaligus memastikan kabinetnya dapat terus digerakkan oleh
menteri-menteri yang kompeten.
Pemimpin komponen BN seperti Datuk Mah Siew Keong, Datuk Wee Ka
Siong, Datuk Seri Joseph Kurup dan Datuk Joseph Entulu perlu diberikan
peluang menjadi menteri di kementerian-kementerian tertentu, bukan
sekadar ‘asal boleh’ menempatkan mereka di Jabatan Perdana Menteri
dengan tanggungjawab yang amat kecil dan tidak signifikan.
Reformasi kedua yang mesti dilakukan oleh Najib ialah memisahkan bidang kuasa perdana menteri dari kementerian kewangan.
Skandal 1MDB merupakan indikasi jelas bahawa perdana menteri dan
menteri kewangan tidak boleh diterajui oleh satu individu yang sama.
Keadaan ekonomi global dan cabaran semasa yang bakal kita hadapi kini
menjadi asas yang kuat bahawa seorang menteri kewangan sepenuh masa amat
diperlukan
Secara peribadi, saya tidak melihat keupayaan menteri kewangan kedua,
Husni Hanadzlah untuk mengepalai kementerian ini. Hemat saya, Datuk
Seri Mustapha Mohamad lebih wajar memainkan peranan tersebut.
Reformasi yang ketiga ialah dengan mengecilkan saiz kabinet sedia
ada. Kabinet yang kecil tetapi efektif telah diamalkan di negara-negara
demokrasi hari ini dan kebanyakkannya dengan disisipkan menteri-menteri
junior atau junior ministers.
Cadangan saya;
Kementerian Pendidikan serta Pendidikan Tinggi disatukan dibawah satu kementerian. Tiada keperluan memisahkan antara keduanya;
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Perdagangan
Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan digabungkan dalam satu
kementerian. Pemisahan antara keduanya membuatkan koordinasi dasar
antara kedua-duanya lebih sukar;
Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta Perusahaan Perladangan dan Komoditi digabungkan menjadi satu;
Tiga ‘kementerian kecil’ yang wujud untuk menampung perjawatan junior
ministers dari Sabah dan Sarawak iaitu Kementerian Tenaga, Teknologi
Hijau dan Air, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, serta
Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar perlu digabungkan menjadi satu
bagi memastikan koordinasi polisi yang lebih baik dan bersepadu. Bahkan
jika ada perjawatan menteri baru yang ingin dilantik dalam kerangka
maksud yang sama, ia mestilah tetap berada dibawah satu Kementerian.
Dua lagi harapan saya ialah;
Menteri yang baru dapat dilantik bagi menggantikan Datuk Seri Anifah Aman di Kementerian Luar Negeri.
Cabaran yang dihadapi di rantau ini kian memuncak khususnya di Laut
Cina Selatan. Saya melihat Anifah gagal memainkan peranannya dengan
efektif dan perlu diganti.
Kementerian Wilayah Persekutuan dimansuhkan. Sebagai ganti, Kerajaan
Negeri yang dipilih melalui pilihan raya bagi Wilayah Persekutuan Kuala
Lumpur diwujudkan manakala pilihan raya Kerajaan Tempatan mengambil
tempat di Putrajaya. Begitulah juga perihal Labuan di Sabah.
No comments:
Post a Comment