Sunday, June 26, 2016

Menanti sifir baru politik Muhyiddin

26/6/15

ULASAN Tanpa dirancang lagu allahyarham Sudirman, Gerimis Di Lautan, bagaikan menjadi lagu latar ketika saya membaca berita pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin, kelmarin.
Bukannya mengejutkan sangat berita itu. Kedatangan pengumuman begitu kira-kira seperti menunggu durian gugur di dusun. Buahnya ada, cuma menanti detik matang yang betul.

Bersama 'gugur' dengan Muhyiddin ialah bekas menteri besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Kedudukan itu menjadikan mereka - dari satu segi - sama seperti bapa Mukhriz, Tun Dr Mahathir Mohamad yang berada di luar Umno kerana mengkritik pemimpin Umno.

Bekas menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pula digantung keahliannya. Dia tidak dipecat, tetapi penggantungan itu meletakkan sebelah kaki beliau sudah berada di luar lingkaran Umno.

Siapa yang tidak tahu kerunsingan dialami mereka terhadap nasib Umno kini. Di mata sebahagian orang - termasuk 3M itu (Dr Mahathir, Muhyiddin dan Mukhriz) - Umno kini dalam keadaan parah akibat tindak-tanduk presiden dan penyokongnya.

Ranggi jadi lembut
Justeru mereka bergerak ke sana sini membuat penjelasan dan menarik sokongan supaya Datuk Seri Najib Razak diketepikan daripada jawatannya sekarang.

Tapi biasalah, kecuali Dr Mahathir, yang lain tidak ada pengalaman menjadi pembangkang. Atau bersahabat dengan pembangkang. Maka kemarahan itu kita lihat tidak lebih daripada sekadar macam marah-marah manja.

Menyindir, berkias, kemudian barulah sedikit lebih keras. Oh, semasa menegur itu adalah sekali dua mereka bersajak.
Pada Mac lalu misalnya Muhyiddin membaca sajak ikonik Chairil Anwar, Aku, semasa majis di Kampung Batu Ampat‎, Kota Tinggi.

Cuma sedihnya sajak ranggi Chairil itu menjadi suku masak di tangan Muhyiddin kerana beliau hanya membacakan dua daripada 13 baris Aku.
"Aku ini binatang jalang
dari kumpulannya terbuang."

Barangkali ada benarnya juga kata sesetengah orang, dalam keadaan berhemah dan berlapik itu pun Muhyiddin dibuang, lebih baiklah beliau sebelum ini melawan dengan lebih garang.
Kini nasi bukan saja sudah menjadi bubur, malah menjadi bubur basi.

Pilihan yang ada
Dengan kemenangan bergaya BN di Sarawak, Sungai Besar dan Kuala Kangsar, tidak banyak yang boleh dilakukan oleh Muhyiddin.
Najib dan sekutunya memiliki testimoni untuk menunjukkan majoriti rakyat sebenarnya masih yakin kepada Umno yang diterajuinya. Pedulilah apa pun yang dikata orang.

Sedangkan cakap Dr Mahathir pun tak dipeduli orang, apa lagilah ceramah pembangkang. Cakap Muhyiddin, lagilah.
Dalam keadaan begitu apakah pilihan yang ada pada bekas timbalan perdana menteri dan menteri besar Johor itu?

Pertama, beliau boleh bersara daripada politik. Atau hanya bergerak di belakang tabir untuk menyedarkan rakyat Malaysia, terutama ahli Umno supaya melakukan sesuatu pada parti itu.

Tanpa menjadi ahli Muhyiddin boleh menubuhkan suatu pertubuhan bukan kerajaan dan bergerak di atas landasan itu. Kalau bernasib baik pertubuhan berkenaan boleh berkembang dan lebih berpengaruh daripada PERKASA.

Kedua, menyertai kumpulan bekas yang berhormat dalam Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK) selepas ini.

Selepas 'diceraikan' Umno tidak nampak sebarang kemungkinan Muhyiddin akan dicalonkan lagi dalam pilihan raya umum akan datang kecuali berlaku perubahan drastik pada parti berkenaan.
Memanglah MUBARAK tidak sehebat sesetengah pertubuhan lain tetapi dalam keadaan tertentu MUBARAK itu laku juga. Misalnya keyataan mereka masih dicari untuk memberi pandangan kepada isu-isu semasa.

Ketiga, melepaskan segala titik bengik dan sepak terajang politik secara mutlak dan menyertai bidang yang berlainan sama sekali. Menjadi penerbit album lagu anaknya yang berbakat besar itu misalnya.

Bermaruah, dengan merit
Ia memang langkah langka, tetapi tidak ada aibnya menjadi tenaga penting dan besar untuk melonjakkan lagi nama Najwa ke peringkat lebih tinggi. Tidak semestinya beliau menjadi penerbit eksekutif untuk karya penyayi itu. Memadai dengan menjadi tenaga belakang tabir untuk menasihati dan merangka strategi.

Tetapi tentulah yang lebih lazim, menjadi pengerusi syarikat atau badan korporat seperti kebanyakan bekas wakil rakyat lain. Pengalaman, pengaruh dan rangkaian kenalan Muhyiddin tentu besar manfaatnya untuk syarikat atau badan berkenaan.

Syaratnya, janganlah amalkan kronisme atau tumbuk rusuk sebaliknya operasi dijalankan secara bermaruah dan berdasarkan merit. Muhyiddin tentu tidak asing langsung dengan praktik begitu.

Pilihan keempat ialah berjinak-jinak dengan dunia penulisan. Tindakan Muhyiddin bersajak itu membayangkan bahawa pada jiwa beliau ada naluri seni yang baik.

Tidak semestinya beliau menjadi penyajak atau penyair seperti Pak Samad Said. Boleh saja Muhyiddin menulis buku menceritakan pengalaman panjangnya sebagai tokoh konglomerat dan siasah sebelum ini.

Dr Mahathir sudah menulis banyak buku, bekas menteri penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin dan Datuk A Kadir Jasin pula boleh menjadi perunding kepada buku itu nanti.

Karya Muhyiddin - jika itulah pilihan beliau - tentu ditunggu-tunggu ramai. Ada banyak penerbit yang mahu membantu beliau merealisasikannya. Atau Muhyiddin boleh menjadi sebahagian rumah penerbitan mandiri yang semakin popular kini.
Saya kemudian teringat kembali lagu Sudirman itu:

Apalah guna ke bendang
Padi seberang takkan menjadi.
Apalah diharap sayang
Kasihnya orang, orang tak sudi
Apa pun, ia adalah pilihan Muhyddin sendiri. Seperti kenyataannya semalam obor perjuangan dalam jiwanya itu masih terus menyala. 

Beliau boleh terus melawan, tetapi dengan lebih berani, terbuka dan terus terang.
Alang-alang melawan, melawan betul-betul. Kalau ada 'keris' yang masih tersarung, hunuslah. Cuma jangan belajar daripada PAS. Muhyiddin tidak perlulah hunus keris tiga depa, ya.

No comments:

Post a Comment