SHAH ALAM - Penganalisis politik berpendapat tidak mustahil bekas
Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Menteri Besar
Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir menyertai Pakatan Harapan selepas
penggantungan mereka daripada Umno.
Pensyarah dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr
Maszlee Malik berkata, penyertaan mereka itu sama ada atas kapasiti
individu ataupun menyertai mana-mana parti yang ada dalam Pakatan
Harapan.
Menurutnya, pilihan terbaik bagi kedua-dua pemimpin itu sekarang adalah menyertai Parti Amanah Negara (Amanah).
"Selepas apa yang berlaku, apakah mereka akan sertai Pakatan Harapan
atau menubuhkan parti baharu?...Namun untuk menubuhkan sebuah lagi parti
politik Melayu yang baru agak tidak efektif. Cukuplah kita lihat jerih
payah Amanah yang sehingga kini terpaksa berkorban dan membanting tulang
untuk melebarkan pengaruh mereka di kalangan orang Melayu di luar
bandar.
"Pilihan yang terbaik ialah untuk mereka menyertai Amanah dan parti
tersebut melakukan penstrukturan semula untuk menerima sebilangan besar
ahli-ahli Umno yang mendokong dan menyokong Tun M dan kedua-dua
Muhyiddin dan Mukhriz," katanya dalam satu kenyataannya, hari ini.
Katanya lagi, akar umbi Umno di Kedah, Johor, Melaka dan Negeri
Sembilan pasti akan terkesan dengan situasi itu dan tidak mustahil akan
bersama-sama menyertai Amanah.
[ARTIKEL BERKAITAN: Muhyiddin, Mukhriz dipecat, Shafie digantung jawatan]
Sinar Harian sebelum ini melaporkan pada 24 Jun lalu, Majlis Tertinggi
Umno memutuskan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan
bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dipecat daripada
Umno berkuat kuasa serta merta.
Sementara Naib Presiden Umno, Datuk Seri Shafie Apdal digantung dari jawatannya.
Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengumumkan perkara itu
berkata, tindakan itu dipersetujui sebulat suara oleh Majlis Tertinggi
(MT) Umno kerana mendapati mereka melakukan kesalahan serius.
No comments:
Post a Comment