Keluarga bekas timbalan menteri dalam negeri itu terkejut dengan penafian bekas perdana menteri itu
PUTRAJAYA: Anak sulung Allahyarham Tan Sri Megat Junid Megat Ayub
pasti arahan penahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA)
ditandatangani bapanya semasa menjadi timbalan menteri dalam negeri
dibuat selepas mendapat kebenaran Tun Dr Mahathir Mohamad.
Datuk Megat Fairouz Junaidi berkata adalah sesuatu yang pelik jika
kuasa sebesar itu diberikan kepada seorang bertaraf timbalan menteri
selama 11 tahun tanpa pengawasan dan pengetahuan Dr Mahathir selaku
menteri dalam negeri dan perdana menteri ketika itu.
“Kami (sekeluarga) harap Tun Mahathir yang sememangnya dihormati oleh
arwah, hanya terlepas cakap semasa mengungkap kenyataan itu walaupun
secara teknikal arwah mungkin menandatangani surat arahan tersebut.
“Dalam konteks penahanan ISA, jika benar arwah yang menandatangani
surat penahanan, sudah pasti ia telah mendapat kebenaran dan pengetahuan
malah kemungkinan besar ia adalah arahan Tun Mahathir sendiri selaku
menteri dalam negeri dan perdana menteri (ketika itu),” katanya pada
sidang media di sini hari ini.
Megat Fairouz, yang mewakili dua lagi anak Allahyarham serta ibunya
Puan Sri Faizah Shuaib mengulas laporan laman blog yang melaporkan Dr
Mahathir menafikan beliau adalah menteri yang menandatangani perintah
tahanan ISA sepanjang menjadi menteri dalam negeri dan perdana menteri.
Dr Mahathir dipetik sebagai berkata selepas mengambil alih sebagai
menteri dalam negeri daripada Tun Musa Hitam pada 1986, yang berkuasa
menahan mana-mana individu di bawah ISA, beliau menurunkan kuasa itu
kepada Megat Junid sepanjang 11 tahun Allahyarham berkhidmat sebagai
timbalan menteri dalam negeri di bawah pentadbirannya.
No comments:
Post a Comment