Jangan bincang isu kerusi secara terbuka, pesan Ahli Majlis Tertinggi Umno kepada rakan-rakan komponen BN.
PETALING
JAYA: MCA perlu beri jaminan yang ia boleh menangkan Parlimen Kuantan,
Gelang Patah dan Wangsa Maju untuk BN sebelum mengambil semula tiga
kerusi tersebut daripada Umno.
Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno Datuk Seri Shahidan Kassim berkata
partinya sedia berbincang dengan rakan-rakan BN berhubung pengagihan
kerusi untuk PRU14 nanti, namun tidak mahu tolak ansur itu disia-siakan.
“Banyak orang cakap nak ambil kerusi, kerusi itu. Boleh dibincang
tetapi jaminan kemenangan? Jangan hanya minta kerusi tetapi tidak boleh
beri kemenangan,” katanya kepada FMT.
Beliau mengulas rancangan Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai
meminta Umno menyerahkan semula tiga kerusi Parlimen itu yang menurut
MCA ‘milik’ mereka. Menurut Tiong Lai, partinya sudah memuktamadkan
calon untuk PRU14.
Dalam PRU13 lalu, Umno mengekalkan dominasi BN di Malaysia Barat dengan kemenangan di 88 kerusi Parlimen daripada 117 kerusi.
MCA pula bertanding di 37 kerusi Parlimen dan alami kemerosotan teruk dalam sejarahnya apabila hanya memenangi 7 kerusi.
BN terlepas Kuantan kepada pembangkang selepas calon MCA Datuk Fu Ah
Kiow tewas di tangan calon PKR, Fuziah Salleh pada PRU12. Seterusnya
walaupun dicabar Umno pada PRU13, kerusi itu masih milik PKR dengan
majoriti undi yang lebih baik, 4,515 undi.
Strategi BN juga tersasar di Gelang Patah, apabila kerusi yang
berjaya dipertahankan wakil MCA Tan Ah Eng tercicir ke tangan DAP
setelah diserahkan kepada Umno. Datuk Abdul Ghani Othman tewas di tangan
tokoh DAP Lim Kit Siang dengan majoriti 14,762 undi.
Di Wangsa Maju, PKR menang berdepan calon MCA Yew Teong Look pada
PRU12 (majoriti: 150 undi) dan dominan berdepan calon Umno Datuk Mohd
Shafie Abdullah pada PRU13 (majoriti: 5,511 undi).
Mengulas lanjut, Shahidan mengingatkan semua komponen BN supaya mengelak membincangkan isu kerusi secara terbuka.
“Yang boleh bincang secara terbuka adalah sama ada boleh atau tidak
kita berikan kemenangan. Permintaan kerusi itu nombor dua, yang paling
penting adalah jaminan untuk memberikan kemenangan.”
No comments:
Post a Comment