Sinar Harian
3 September 2016
KOTA BHARU - Pemangku Yang DiPertua (YDP) Pas Kota Bharu, Dr Rosli
Allani Abdul Kadir mengakui, parti itu sedia berdepan dengan sesiapa
sahaja pada PRU14 termasuk bekas Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa
yang baru menyertai Amanah 31 Ogos lalu.
Menurutnya, beliau mengalu-alukan sekiranya benar khabar angin mendakwa
Husam akan bertanding di Parlimen atau Dun di Kota Bharu pada PRU akan
datang.
“Saya yakin dengan keupayaan Setiausaha Agung, Datuk Takiyuddin Hassan akan dapat menandingi aura yang ada pada Datuk Husam.
“Malah saya akan mencadangkan agar Datuk Takiyuddin yang mengenali
Datuk Husam sejak zaman universiti itu bertanding di mana sahaja ahli
Amanah itu dicalonkan,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.
Menurutnya, beliau mengikuti perkembangan politik tanah air khususnya di Kelantan termasuk penyertaan Husam ke dalam Amanah.
“Ia bukan sesuatu yang pelik memandangkan bekas YDP Pas Kota Bharu yang
juga Pengerusi Amanah Kelantan, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah
merupakan antara mentor Adun Salor itu khususnya dalam politik,”
katanya.
Beliau berkata, walaupun Husam pernah menjawat jawatan Naib Yang
Dipertua (YDP) Pas Kota Bharu sebelum Pas Kubang Kerian ditubuhkan,
namun faktor individu tidak banyak memberi impak dalam sejarah
perjuangan parti sebelum ini.
“Situasi ini dapat dilihat sejak zaman bekas YDP sebelum ini, Datuk
Mohd Asri Muda yang meninggalkan bahtera parti bersama para
penyokongnya, namun Pas berjaya memposisikan semula kedudukannya dengan
lonjakan yang lebih baik lagi selepas itu,” katanya.
Rosli Allani berkata, beliau akan mempersiapkan jentera bagi menghadapi PRU14 yang dijangka tidak sampai setahun lagi.
“Kehadiran Amanah mahupun Bersatu mungkin menambah warna baru kepada politik Kelantan dan negara.
“Namun saya yakin dengan kekuatan yang ada pada akar umbi ia mampu
memberi cabaran terbaik dalam menghadapi persaingan ini,” katanya.
Cakap banyak malas... Takiyuddin.. Tinggal 11 hari lagi aku tunggu kau nak saman. 19 hari dah berlalu...
ReplyDeleteAda brani ka nak saman SR
ReplyDelete