Ahli Parlimen Amanah menggesa RUU 355 diperhalusi
terlebih dahulu sebelum ia diluluskan bagi mengelakkan ia menjadi fitnah
terhadap Islam.
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Amanah menggesa PAS berfikir dengan lebih
teliti berhubung rang undang-undang (RUU) persendirian bagi meminda
Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355 yang
dibentangkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada 24 November.
Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad mempertikaikan hukuman “ketat”
PAS terhadap pesalah syariah dengan hukuman maksimum termasuk 30 tahun
penjara, denda RM100,000 dan 100 sebatan rotan.
“Persoalannya, adakah kita nak penjarakan pesalah syariah sama
seperti dilakukan kepada penjenayah tegar? Fikirlah dulu. Namun,
sekurang-kurangnya ia ada had tetapi kami perlu berbincang untuk
memperhalusinya lagi,” katanya.
“Sekurang-kurangnya sekarang orang tidak akan bertanya sama ada mereka akan dipotong tangan,” katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Kota Raja Dr Siti Mariah Mahmud
mempersoalkan mengapa PAS lebih cenderung memberi penerangan kepada
rakyat dan bukannya ahli Parlimen mengenai cadangan pindaan RUU itu.
Mariah menegaskan ahli Parlimen adalah pihak yang akan mengundi untuk
meluluskan RUU apabila ia dikemukakan di Parlimen dan bukannya orang
ramai.
“Ini adalah sebab mengapa sebahagian daripada kita percaya RUU ini
lebih mementingkan politik berbanding usaha memartabatkan Islam,”
katanya dalam sidang akhbar di Wisma Amanah Negara, di sini hari ini.
Membidas kata-kata yang mengatakan hukuman itu hanyalah tahap
maksimum, Mariah berkata punca kebimbangan adalah hakikat yang Dewan
Undangan Negeri (DUN) adalah bebas antara satu sama lain.
“Ada yang mengatakan itu hanya hukuman maksimumnya sahaja tapi saya
ingatkan DUN adalah bebas daripada yang lain. Akan ada satu masa nanti
hukumannya berbeza. Kenapa tidak diselaraskan dahulu? Ini akan
menimbulkan fitnah terhadap Islam yang perlu kita pastikan agar hukuman
diselaraskan sebelum diluluskan,” katanya.
Sebelum ini dilaporkan PAS merancang mengadakan perhimpunan tahun
depan bagi menunjukkan sokongan besar-besaran terhadap rang
undang-undang parti itu untuk memperluaskan kuasa Mahkamah Syariah.
FMT
No comments:
Post a Comment