4/1/17
Pasukan Penyelidikan Sulit Financial Times menjangkakan bahawa
pilihan raya umum ke-14 akan diadakan pada suku ketiga tahun ini, dengan
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berada di landasan yang betul
untuk mengekalkan cengkaman kuasanya.
Cabang penyelidikan akhbar ekonomi antarabangsa Financial Times
itu juga percaya bahawa persempadanan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya
yang kini dicabar di mahkamah akan siap menjelang akhir suku kedua.
"Kami menjangkakan Najib akan memenangi pilihan raya umum akan datang walaupun terpalit dengan skandal rasuah 1MDB.
"Proses persempadanan semula yang berjaya dan pembangkang yang
berpecah bermakna peluang untuk perubahan kuasa adalah sangat kecil di
Malaysia," katanya dalam satu kertas penyelidikan.
Menurut pasukan penyelidikan itu, Najib juga akan mendapat manfaat
hasil kegagalan yang dijangka dalam rundingan antara Pakatan Harapan dan
PAS.
Najib sebelum ini membayangkan bahawa pilihan raya umum akan diadakan
tidak lama lagi, tetapi tarikh sebenar masih menjadi misteri, sama
seperti apa yang berlaku sebelum pilihan raya umum tahun 2013.
Perdana Menteri juga menafikan beliau menyalahgunakan dana 1MDB dan
mendakwa tuduhan itu dibuat oleh mereka yang mahu menjatuhkannya.
Ramalan PRU-14 adalah sebahagian daripada laporan pasukan
penyelidikan FT mengenai kaji selidik sentimen ekonomi dan politik di
kalangan 1,000 responden di Malaysia.
Kaji selidik itu mendapati bahawa rakyat negara ini adalah antara
yang paling pesimis daripada responden di negara-negara Asean, dengan
indeks sentimen ekonomi Malaysia jatuh 10.6 mata kepada 19 mata pada
suku keempat.
Indeks sentimen politik Malaysia juga merosot 6.1 mata sepanjang tempoh yang sama kepada 22.9 mata.
Penyelidikan FT itu juga percaya bahawa ketidaktentuan mengenai
tarikh pilihan raya akan datang, serta susut nilai ringgit mungkin
menyumbang kepada prospek suram negara.
"(Rakyat Malaysia) satu-satunya yang menjangkakan iklim ekonomi dan
politik tempatan mereka akan merosot dalam tempoh enam bulan akan
datang," katanya.
Pasukan penyelidik itu berkata sentimen ekonomi merosot di sebalik "peningkatan baru-baru ini dalam ekonomi."
"Kami menjangkakan ekonomi Malaysia berkembang antara 4.4 peratus dan
4.7 peratus pada 2017, meningkat daripada anggaran 4.2 peratus tahun
ini," katanya.
Malaysiakini
No comments:
Post a Comment