GEORGETOWN - Satu laporan polis dibuat berhubung satu mesej fitnah
terhadap Ketua Menteri, Lim Guan Eng yang disebarkan melalui aplikasi
WhatsApp pagi tadi.
Laporan polis itu dibuat Pegawai Penerangan Pejabat Ketua Menteri,
Mejar Zaidi Ahmad di Ibupejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL)
kira-kira 10.30 pagi tadi.
Zaidi yang ditemui di pekarangan IPDTL berkata, laporan polis itu
dibuat selepas beliau menerima mesej berkenaan pada 1 Januari lalu
kira-kira jam 5.58 pagi.
Menurutnya, mesej berkenaan memaparkan gambar Guan Eng bersama
kenyataan 'Pakatan akan tutup Mara. Kita akan tutup segala entiti
berkait dengan Mara selagi ia tidak terbuka untuk semua kaum. Itu janji
saya untuk kerajaan dibawah Pakatan'.
"Mesej itu didapati dihantar melalui kumpulan WhatsApp bernama 'Bersatu
Lwn Kezaliman' oleh seorang individu yang dikenali sebagai Mizan Johor.
Nombor telefon yang digunakannya juga sudah diserahkan kepada polis.
"Saya mendapati, mesej itu merupakan satu fitnah jenayah terhadap Guan
Eng kerana Ketua Menteri tidak pernah membuat kenyataan yang menyentuh
isu penipuan segala entiti yang berkaitan dengan Majlis Amanah Rakyat
(Mara).
Selain itu, Guan Eng juga tidak pernah menghantar atau
mengarahkan mana-mana pihak menghantar mesej seperti itu bagi pihak
beliau," katanya.
Menurutnya, laporan polis itu adalah yang kedua dibuat olehnya dalam tempoh dua minggu.
"Ini laporan kedua saya kerana kita mendapati, ada sekumpulan pihak
tidak bertanggungjawab menyebarkan fitnah terhadap Ketua Menteri. Oleh
itu, saya menggesa polis segera menyiasat pihak tidak bertanggungjawab
ini yang dilihat sengaja menimbulkan isu perkauman dan kebencian
terhadap Guan Eng.
"Semua mesej melalui media sosial yang disebarkan menggunakan nama
Ketua Menteri adalah penipuan. Kita harap polis menyiasat kes ini
mengikut Seksyen 499 atau 500 Kanun Keseksaan kerana kesalahan
memfitnah," katanya.
Dua minggu lalu, Zaidi membuat laporan polis berhubung mesej palsu yang
disebarkan melalui WhatsApp yang juga menggunakan gambar Guan Eng.
Dalam mesej berkenaan, ia mendakwa Guan Eng bersetuju dengan tindakan Aung San Suu Kyi yang menentang kaum Rohingya.
No comments:
Post a Comment