Sinar Harian
5 Januari 2017
PAKA - Hasrat seorang pemuda menghidap leukimia tahap empat untuk
bertemu Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman
akhirnya tercapai apabila dia dibawa bertemu idolanya di Pusat
Pemindahan Banjir di Dewan Sivik Paka, di sini, hari ini.
Walaupun bukan mangsa banjir tetapi kunjungan Ahmad Razif untuk melawat
keadaan mangsa banjir turut memberi peluang kepada Muhamad Ramadhan
Alias, 20, yang tinggal di perumahan Beril, Paka untuk bersembang dan
memeluk pemimpin dihormati itu.
Muhammad Ramadhan berkata, jika mengikut doktor yang merawatnya, dia hanya mempunyai tempoh lima bulan sahaja untuk hidup.
Menurutnya, sebelum menutup mata dia memang teringin untuk bertemu
Ahmad Razif kerana kagum dengan sikap pemimpin yang mesra rakyat.
"Saya bagaikan tidak percaya akan bertemu MB pada hari ini dan rasa seperti mimpi.
"Memang sudah lama saya menyimpan hasrat bertemu dengannya dan saya
memang berharap sebelum menutup mata dapat bertemu dengan beliau.
"Dia memang menjadi idola kerana sikapnya yang begitu mesra dengan
rakyat dan akhirnya saya dapan bertemu mata dengannya," katanya.
Kata anak bongsu dari lima beradik itu, dia disahkan menghidap leukimia
tahap tiga ketika Jun 2016 selepas ke hospital untuk mendapatkan
rawatan kerana ditumbuhi bisul di bahagian punggung.
"Pada awalnya ada bisul tidak bermata yang tumbuh di bahagian punggung saya.
"Apabila diambil sampel darah baharulah tahu yang saya sebenarnya menghidap leukimia.
"Selepas itu saya mula mendapatkan rawatan dan membuat tujuh kali
rawatan kemoterapi dan sudah menjalani pembedahan mengambil air tulang
belakang sebanyak tujuh kali.
"Sekarang sudah tiada rawatan untuk penyakit saya dan doktor menyuruh saya menunggu sahaja saat-saat kematian tiba," katanya.
No comments:
Post a Comment