Friday, February 24, 2017

Pakatan Harapan buat laporan polis isu van jenazah

Sinar Harian
asd
Ketua Angkatan Muda Keadilan Selangor, Afzainizam Rahman bercakap kepada media ketika hadir bersama Angkatan Bersatu Anak Muda PPBM Armada Selangor, Dapsy Selangor dan Pemuda Amanah Selangor membuat laporan polis terhadap Datuk Seri Jamal Yunus & Gabungan NGO Selangor di atas penyalahgunaan kenderaan jenazah semasa demonstrasi di pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor minggu lalu, di Ibupejabat Polis Daerah Shah Alam, hari ini. - Foto Sinar Harian oleh HALIM WAHID
 
SHAH ALAM - Satu laporan polis dibuat oleh Pemuda Pakatan Harapan terhadap Ketua Pemuda Umno Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunus.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Afzainizam Rahman yang mengetuai laporan polis di Ibu Pejabat Polis (IPD) Shah Alam hari ini berkata, tindakan ini dibuat kerana Jamal telah menyalahgunakan kenderaan jenazah dan didakwa turut mempersendakan agama Islam.

"Laporan polis ini juga dibuat bagi menjunjung tinggi titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah semalam agar kenderaan jenazah tidak disalahgunakan bagi tujuan lain selain urusan asal untuk mengendalikan jenazah," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Hadir sama di IPD Shah Alam membuat laporan polis itu adalah Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Abbas Salimmi Azmi, Ketua Pemuda Bersatu, Adhif Syan Abdullah dan ahli jawatankuasa Dapsy Selangor, Mugheelan.

Sementara itu, Ketua Pemuda Amanah Abbas Salimmi Azmi, turut menafikan laporan polis yang dibuat hari ini adalah untuk menutup isu dakwaan penyelewengan dana warga emas oleh Kerajaan Negeri Selangor.
"Kita tunggu tindakan sebaiknya untuk ambil tindakan, maknanya sekarang sudah ada titah Tuanku tetapi jika Tuanku tidak bertitah kita akan ambil pendekatan lain," kata Abbas yang ditemui di perkarangan IPD Shah Alam, hari ini.

Semalam, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak berkenan kenderaan jenazah di negeri itu disalah guna bagi tujuan lain selain urusan asal untuk mengendalikan jenazah.

Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohd Munir Bani dalam kenyataan berkata, ahli jawatankuasa kariah atau jawatankuasa masjid seluruh Selangor diminta supaya menjaga dengan baik kenderaan jenazah di bawah seliaan masing-masing dan tidak menyalahgunakan kenderaan itu.

Terdahulu, menjawab kepada titah tersebut Jamal berkata beliau menjunjung kasih dan menyokong penuh titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung penggunaan van jenazah yang sepatutnya tidak disalahgunakan.
14 Februari lalu, Sinar Harian melaporkan, 15 van jenazah dibawa Gabungan NGO Melayu Malaysia untuk menggegarkan pintu masuk Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Selangor.

No comments:

Post a Comment