Seorang diplomat veteran menceritakan bagaimana duta
besar China kini lebih intim dengan ahli politik Malaysia khususnya
daripada MCA dan Umno.
PETALING JAYA: Duta Besar China ke Malaysia, Huang Huikang semakin
melibatkan diri dalam politik tempatan di sebalik hubungan rapat
Malaysia-China, menurut seorang diplomat veteran, yang memberi
peringatan akan kesannya terhadap kedaulatan negara.
“Beliau tekun menjelajah negara, dan kerap ditemani ahli politik MCA
dan Umno, mengunjungi berpuluh-puluh sekolah Cina dan menyalurkan
beratus ribu ringgit dalam bentuk bantuan dan biasiswa,” bekas duta
Malaysia ke Kanada, Datuk Dennis Ignatius menulis dalam FMT hari ini.
Menurutnya, Huang juga berjanji mewujudkan program latihan bersama
guru sekolah, yang antara lain boleh menyaksikan penyertaan lebih ramai
guru dari tanah besar China di sekolah tempatan.
Dennis berkata MCA kini bertindak seolah-seolah ia cawangan kedutaan
China dan bukan sebagai sebuah parti politik yang menyertai kerajaan.
“Baru-baru ini, ia menubuhkan sebuah jawatankuasa hal-ehwal China di
samping sebuah pusat OBOR,” kata Dennis, merujuk kepada projek One Belt
One Road, laluan sutera dan laluan laut yang diwujudkan China bagi
mengawal ekonomi serantau.
Tambahnya, MCA mempromosikan OBOR mengalahkan kempen yang dijalankan kedutaan China sendiri.
“Ada yang berhujah tindakan sedemikian menjadikan MCA sebagai
penggerak utama pengaruh dan propaganda China di negara ini kini,”
katanya.
Katanya, dasar “pro-China” yang diamalkan kerajaan pimpinan Datuk
Seri Najib Razak adalah paling ketara dalam sejarah, dan Beijing kini
semakin menyerlah memainkan peranan dalam politik tempatan.
Dennis, yang mempunyai pengalaman lebih 3 dekad dalam perkhidmatan
diplomasi Malaysia, berkata penglibatan China juga dapat dilihat melalui
sokongan terbuka diplomatnya terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN),
termasuk melalui kehadiran pegawai kedutaan di program politik
melibatkan Umno, MCA dan Gerakan.
Tahun lalu, duta besar China menemani Menteri Pertahanan, Datuk Seri
Hishammuddin Hussein, Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong dan
Adun MCA Teoh Yap Kun untuk melakukan lawatan ke kawasan Parlimen
Semborong dan kawasan DUN Paloh.
Diplomat China juga dilihat bersama pemimpin kanan MCA menghadiri
mesyuarat Persekutuan Persatuan Hakka Malaysia di Raub, Pahang, di
samping bersama Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong di Teluk Intan.
“Dalam semua kunjungan ini, diplomat China mengambil peluang memuji
pentadbiran Najib, menekankan kepentingan MCA dan menegaskan yang
hubungan yang dibina dengan China akan banyak menguntungkan masyarakat
Cina di Malaysia,” kata Dennis.
November lalu, Najib mengetuai rombongan ke Beijing yang turut
disertai 8 menteri dan 3 menteri besar, dalam apa yang dilihat pemerhati
sebagai kecenderungan Putrajaya terhadap China.
Lawatan itu menyaksikan 14 perjanjian melibatkan pelaburan bernilai
lebih RM143 bilion, termasuk penglibatan China dalam Bandar Malaysia dan
Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) bernilai RM55 bilion.
Dennis berkata sokongan dan kenyataan diplomat China itu boleh
dianggap ugutan terhadap masyarakat Cina negara ini supaya mengalihkan
sokongan mereka kembali kepada Umno dan BN.
Menurutnya, pihak yang paling rugi sekiranya strategi ini berjaya
adalah DAP yang menjadi pencabar utama MCA dalam meraih undi Cina.
Dennis berkata, tekanan Beijing itu memaksa DAP bersikap lebih
“sederhana” dalam menentang beberapa keputusan memberikan projek besar
kepada China.
Dennis mengakui apa yang diutarakannya boleh ditafsirkan sebagai menyebarkan dakyah anti-China.
“Ini bukan mengenai pro-Barat atau pro-China tetapi memastikan tidak
ada negara, sama ada di timur atau barat, yang dapat mendominasi kita
sehinggakan kita hilang upaya untuk menentukan haluan sendiri,” katanya.
No comments:
Post a Comment