Speaker DUN Selangor berkata tiada pun aktiviti
provokatif atau ucapan berunsur politik pada acara menyalakan lilin
untuk Pastor Koh yang masih hilang sejak 3 minggu lalu.
PETALING
JAYA: Speaker DUN Selangor Hannah Yeoh berkata beliau kecewa apabila
“terlalu ramai polis” dan sekatan jalan berlaku di Shah Alam malam tadi
ketika acara “vigil” untuk Pastor Raymond Koh diadakan secara aman malam
tadi.
Membandingkan ia dengan pengawasan dan tahan keselamatan ketika
protes provokatif diketuai Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Datuk Seri
Jamal Yunos baru-baru ini, Yeoh berkata perbezaannya sangat ketara.
“Beberapa sekatan jalan dan anggota polis yang terlalu ramai
menyebabkan kekeliruan yang tidak sepatutnya. Tidak ada ucapan
provokatif atau politik. Hanya ucapan ringkas daripada isteri Pastor Koh
mengucapkan terima kasih kepada semua dan meminta mendoakan suaminya.
“Saya bekerja di Shah Alam, hanya 100 meter dari tempat vigil itu dan saya selalu melihat protes provokatif diketuai Jamal.
“Perbezaan pengawasan antara vigil menyalakan lilin yang aman dengan
beberapa protes provokatif di kawasan sama terlalu ketara,” katanya
dalam satu kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, naib presiden DAP Selangor itu berkata beliau kagum
dengan kepelbagaian 300 orang yang hadir semalam, menyalakan lilin untuk
pemimpin Kristian yang diculik pada 13 Februari dan masih hilang tanpa
sebarang maklumat terkini daripada polis.
“Saya jumpa seorang gadis Muslim datang dari Kota Bharu untuk menunjukkan sokongannya malam tadi.
“Saya juga melihat ramai pemimpin beragama Islam di acara itu
termasuk Presiden Amanah Mohamad Sabu, Naib Presiden Amanah Datuk
Mujahid Yusof Rawa dan Pengarah Strategik Amanah Dzulkefly Ahmad,”
katanya yang juga Adun Subang Jaya.
Wakil rakyat Pakatan Harapan yang turut hadir pada acara itu ialah
Ahli Parlimen Kelana Jaya Wong Chen (PKR), Adun Damansara Utama Yeo Bee
Yin (DAP) dan Adun Seri Andalas Xavier Jayakumar (PKR).
Penganjur acara itu, Pastor SM Yee berkata perhimpunan itu pada
mulanya hendak diadakan di depan ibu pejabat polis Selangor, tetapi
polis mengarahkan ia dibuat di kawasan Plaza Masalam, di Seksyen 9, di
mana kira-kira 50 anggota polis berkawal di situ.
Yeoh mendesak polis mengambil tindakan terhadap kes itu, apatah lagi penculikan berlaku di depan rumah pada waktu siang.
“Saya mendesak Kementerian Dalam Negeri dan ketua polis negara
menggerakkan sumber mencukupi untuk menyelesaikan penculikan misteri
ini, bukan saja untuk keluarga pastor tetapi ketenteraman rakyat
Malaysia,” katanya.
Koh, 62, diculik sekumpulan lelaki bertopeng di Jalan SS4B/10, kurang
100 meter dari Kompleks Perumahan Polis di Kelana Jaya pada 13
Februari. Mangsa memandu kereta Honda Accord berwarna perak dengan
nombor plat ST 5515 D.
Beliau dalam perjalanan ke rumah rakannya di Kelana Jaya ketika
diculik dan menerusi rakaman CCTV, penculikan itu nampak terancang
membabitkan lebih 10 lelaki dan 7 kenderaan pada waktu siang.
Keluarga Koh menawarkan habuan RM100,000 untuk mendapatkan maklumat di mana beliau berada.
Malam tadi, lebih 300 orang berkumpul memasang lilin berhampiran
Plaza Masalam di Seksyen 9, Shah Alam, untuk menonjolkan kekurangan
maklumat polis berhubung penculikan itu, dengan ramai yang bimbang ia
mungkin jenayah didorong oleh keagamaan.
No comments:
Post a Comment