5/3/17
Bekas ketua pengarang Utusan Malaysia, Tan Sri Zainuddin
Maidin hari ini mengaitkan hak Datuk Seri Najib Razak untuk kekal
sebagai perdana menteri dengan langkah Tunku Abdul Rahman meletakkan
jawatan itu sekitar tahun 1970 walaupun masih berhak memegangnya.
"Bagi saya, anggota Parlimen yang dipilih oleh rakyat menerusi
pilihan raya dan atas persetujuan parti berhak untuk menjadi perdana
menteri walaupun tidak popular di kalangan majoriti rakyat. Maka itu
Datuk Seri Najib berhak dari segi demokrasi.
"Tetapi ketidak stabilan negara, kehilangan keyakinan rakyat yang
berpunca dari ketidak cekapan dan ketidak bijaksanaan dalam pengurusan
politik, ekonomi dan keselamatan adalah mewajarkan seseorang perdana
menteri yang berfikiran demokratik untuk meletakkan jawatan.
"Atas kesedaran dan sentivitinya terhadap perasaan rakyat lah maka
Tunku Abdul Rahman meletakkan jawatan dan menyerahkannya kepada Tun
Abdul Razak pada 23 September 1970 sekalipun dari segi demokrasi beliau
masih berhak untuk terus jadi perdana menteri," kata Zainuddin dalam
blognya.
Beliau yang terkenal dengan gelaran Zam dan pernah menjadi menteri
penerangan turut menyelitkan kisah peribadi Tunku yang dianggap beliau
sebagai perdana menteri Malaysia yang paling jujur.
"Dari pengalaman saya,tidak ada seorang pun Perdana Menteri Malaysia sejujur Tunku.
"Tunku pernah duduk bercerita sehingga lebih jam satu malam antaranya
tentang siapakah di sebalik usaha untuk menjatukannya dan memfitnahnya
mempunyai skandal dengan seorang seniwati Melayu tersohor.
"Bila suami kepada seniwati ini datang meminta ampun setelah
mengetahui hal sebenar, Tunku bertanya 'Hang dah puas aku tak main bini
hang'," kata Zam menceritakan pertemuan beliau dan rakan-rakan Utusan selepas Tunku tidak lagi menjawat kerusi nombor satu negara.
Antara wartawan Utusan Melayu yang turut sama dalam
pertemuan itu, menurut Zam, ialah Tan Sri Melan Abdullah yang merupakan
ketua pengarang ketika itu, Osman Abadi, Harun Hassan dan Jiro.
Baru-baru ini, Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH),
Salahuddin Ayub mendedahkan Najib akan diminta untuk melepaskan jawatan
perdana menteri dalam masa terdekat.
Justeru, kata Salahuddin, presiden Umno itu harus mengawal emosinya
daripada begitu terdesak sehingga terpaksa mendedahkan ada pimpinan
utama Umno yang meminta jawatan ketua menteri.
"Najib perlu belajar mengawal emosinya kerana akan ada pula di
kalangan pimpinan kanan Umno yang meminta jawatan Perdana Menteri
daripada beliau dalam tempoh waktu terdekat," kata Salahuddin.
Mengulas lanjut, Zam berkata, Tunku meletakkan jawatan setelah
menciumi perasaan dalaman parti dan kemarahan rakyat khususnya orang
Melayu terhadap sikap tolak ansurnya walaupun beliau percaya kebenaran
dasarnya sehingga ke akhir hayat beliau.
"Maka itu, beliau memberikan laluan kepada Tun (Abdul) Razak dan
demikianlah juga Tun Abdullah (Ahmad) Badawi dalam memberikan laluan
kepada Najib.
"Tunku Abdul Rahman tidak takut untuk meletakkan jawatan kerana
beliau tidak berasa telah melakukan kesilapan besar terhadap negara dan
bangsanya.
"Beliau tidak menyelewengkan wang negara, beliau tidak menyembunyikan
kesilapan dan kelemahannya sebaliknya membuat pengakuan terus terang
sekalipun yang melibatkan peribadinya dan tidak takut untuk ditangkap
atau dihukum oleh rakyat sekiranya beliau berhenti," tambah Zam.
Antara pengakuan jujur Tunku kepadanya ialah tabiat bermain judi atau poker, jelas Zam.
"Umpamanya apabila saya menemui beliau selepas tragedi 13 Mei 1969
bertanyakan apakah benar beliau bermain poker bersama kawan-kawannya
ketika negara sedang berada dalam kekacauan seperti yang didakwa oleh
(Tun) Dr Mahathir Mohamad,Tunku terus mengakui: 'Ya benar, bukan saya
ambil duit bapa dia, tulis, tulis.
"Demikian juga bila (Tan Sri) Syed Kechik (Syed Mohamed Al-Bukhary)
jutawan Melayu menghadiahkan kereta Rolls Royce kepadanya, beliau
berkata dalam suatu majlis ulangtahun kelahirannya yang turut dihadiri
oleh ramai wartawan dalam dan luar negara: 'Syed buat apa hang bagi
kereta kat aku, hang bagi duit kat aku,aku boleh pi main poker," cerita
Zam lagi.
Malaysiakini
No comments:
Post a Comment