Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Datuk Dr Khairuddin Aman Razali akhirnya akan berdepan dengan siapa?
Perkara ini terus kusut selepas kata sepakat masih belum dicapai
antara pihak-pihak berkaitan, bagi membincangkan sama ada pindaan Akta
Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 wajib dipinda ada tidak.
Dalam perkembangan terbaru, Khairuddin dikatakan bersedia berhujah
dengan Mufti Perlis Datuk Dr Asri Zainul Abidin terlebih dahulu bagi
membahaskan perkara itu.
Bagaimanapun, Asri pula lebih berminat berdepan pemimpin tertinggi parti itu Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Wakil peribadi Khairuddin, Nurul Islam Mohamed Yusoff berkata,
diskusi ilmiah dan terbuka elok diadakan antara Khairuddin dan Asri
memandangkan kedua-dua mereka dilihat berbeza pandangan.
Perkara itu, kata Nurul Islam, bagi “merungkai sudut pandang bersama
dan berbeza dalam isu ini untuk kefahaman bersama masyarakat Islam”.
“Diskusi ini membuka ruang untuk setiap pihak menyampaikan sudut
pandang mereka secara ilmu atas semangat ukhuwah islamiah dengan tujuan
yang satu iaitu agar Islam dan dakwah Islam sentiasa diperkukuhkan dalam
negara ini,” katanya.
Dalam kenyataannya petang ini, Nurul Islam berkata, acara bersama
pensyarah fikah dan usul fiqh Dr Rozaimi Ramle pula dalam isu yang sama
boleh diadakan selepas itu.
Isu debat itu muncul selepas Rozaimi tampil menyahut cabaran debat
Khairuddin yang mencabar mana-mana pihak yang tidak sependapat dalam isu
pindaan Akta 355 untuk berbahas perkara itu.
Bercakap dalam ceramah di Kelantan lebih dua minggu lalu, Khairuddin
berkata mahu “menyekeh” kepala mufti jika menyifatkan usaha PAS itu
sunat, bukan wajib.
Menyebut mufti Perlis secara khusus, beliau juga menyifatkan sahabat,
kawan baik itu “pening” serta menjadi modal kepada penentang RUU355.
Sementara itu, menjawab soalan Malaysiakini, Nurul Islam juga berkata sedang menyusun banyak lagi dialog dengan pelbagai pihak berkaitan agenda PAS itu.
“Kita akan susun semua selepas ini atau kita akan rangkumkan dalam satu program bagi menjimatkan masa,” katanya.
Sementara itu Khairuddin semalam berkata tidak pelik jika ada yang
menentang usaha PAS kerana “kurang memahaminya atau kerana agenda
peribadi atau kerana sengaja mengelirukan masyarakat”.
Beliau juga memperingatkan terhadap ayat al-Quran yang menyuruh umat
Islam berwaspada terhadap pihak yang melakukan fitnah dan memalingkan
daripada apa yang diturunkan oleh Allah.
VIDEO
VIDEO
Malaysiakini 2/3/17
Assalamualaikum wbt. Kepada semua cendekiawan Islam, pamerkan akhlak yang akhirnya memberi gambaran bahawa Islam itu indah dan layak memimpin dunia. Amatlah malang jika berlaku perkara yang sebaliknya. Ingatlah bahawa syaitan sentiasa bersikap menipu daya dan jangan ada dalam kalangan kita menjadi mangsa tipu daya syaitan. Wassalam.
ReplyDelete