2/3/17
PETALING JAYA: Jaringan pemain
tengah Selangor, Juliano Mineiro pada minit-minit akhir perlawanan
ternyata menghampakan pasukan Kedah untuk meraih tiga mata penuh dan
terpaksa berpuas hati untuk berkongsi satu mata selepas mencatat
keputusan seri 1-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Selayang, malam
Rabu.
Namun timbul persoalan sama ada jaringan pemain kelahiran Brazil itu
wajar dikira sebagai sah selepas dia dikesan memasuki kawasan kotak
penalti sebelum rakan sepasukannya, Victor Stelian Astafei melakukan
sepakan.
Mengikut Undang-Undang 14: Sepakan Penalti, pemain lawan atau tuan
rumah perlu berada di luar kotak sebelum pemain yang mengambil sepakan
penalti menyentuh bola.
Sekiranya berlaku pelanggaran undang-undang itu, pengadil boleh
membenarkan sepakan diteruskan tetapi jika bola masuk ke dalam gol,
sepakan perlu diambil semula.
Sekiranya bola tidak masuk ke dalam gol, pengadil perlu memghentikan
permainan dan memulakan perlawanan dengan sepakan percuma kepada pasukan
lawan iaitu dalam kes ini adalah Kedah.
Malah jika dilihat semula ulang tayang gol tersebut, pengadil utama
perlawanan, Mohd Zohri Tajudin berada pada kedudukan jelas untuk melihat
kesalahan yang dilakukan Juliano.
Selain itu, penjaga garisan juga boleh melihat dengan jelas
pergerakan Juliano memasuki kawasan kotak penalti sebelum Victor
melakukan sepakan.
Gol Juliano ternyata mengundang kontroversi apabila beberapa laman
Facebook penyokong Hijau Kuning mempersoalkan keputusan pengadil
membenarkan jaringan tersebut.
Antaranya laman Facebook Penyokong Bola Sepak Kedah dan Lang Merah
Fan’s yang memuat naik rakaman detik-detik kontroversi tersebut.
Malah ada peminat Kedah yang mempertikaikan keputusan pengadil kerana
terlepas pandang kesalahan yang dilakukan Juliano sebelum pemain
berusia 31 tahun itu menjaringkan gol untuk membatalkan kelebihan Kedah
yang mendahului dengan jaringan Sandro da Silva pada minit ke-79.
Jaringan tersebut menyaksikan Kedah gagal merampas kembali takhta
Liga Super dan kini menduduki tangga kedua dengan 15 mata, hanya satu
mata dipiahkan daripada pendahulu liga, Pahang.-MS.
No comments:
Post a Comment