Ketua penerangan Dewan Ulama PAS berkata tidak perlu
provokasi dirinya dan mufti Perlis kerana mereka mahu menyelesaikan isu
perbezaan pendapat menerusi perbincangan secara harmoni.
PETALING
JAYA: Pertemuan 4 mata antara Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Datuk
Khairuddin Aman Razali dan Mufti Perlis Datuk Asri Zainul Abidin hari
ini tidak membincangkan mengenai usaha untuk kedua-dua pemimpin itu
berdebat.
Khairuddin berkata pertemuan itu hanya atas dasar persahabatan
antaranya dengan Asri dan usaha mereka untuk mencapai satu titik
persamaan dalam memperkasakan dakwah Islam secara bersama.
“Itu pertemuan persahabatan antara saya dengan Dr Asri. Kita bincang
pelbagai isu kalau boleh. Kita sepakat bersama. Perbincangan harmoni.
“Isu debat dan wacana ilmu itu soal perbezaan pendapat dan itu tidak
rosakkan hubungan persahabatan saya (dengan Asri),” katanya kepada FMT.
Pertemuan 2 pemimpin itu berlangsung selama 2 jam di rumah Asri di Kangar.
Perang mulut antara mufti Perlis itu dengan pimpinan PAS bermula
selepas kenyataannya pada satu forum bulan lalu yang mengkritik
penyokong rang undang-undang untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang
Kuasa Jenayah) 1965, bagi membenarkan hakim syarie menjatuhkan hukuman
lebih berat ke atas pesalah Islam.
Khairuddin turut meminta mana-mana pihak untuk tidak melakukan provokasi terhadapnya dan Asri.
Katanya, usaha untuk berbincang secara bersama mengenai pandangan
yang sama mahupun yang berbeza dapat dijalankan secara harmoni.
“Kita hanya berbincang isu bersama yang disepakati. Yang penting kita saling memahami pandangan masing-masing.
“Debat atau wacana terbuka itu tidak perlu dibangkitkan. Yang penting
kita masing-masing sudah beri pandangan. Pandangan itu sepatutnya
dibuat secara harmoni supaya boleh kita selesai secara harmoni,”
katanya.
No comments:
Post a Comment