KOTA BHARU - Pas perlu mencari tonik penyelamat untuk mengubati segala
penyakit mahupun kelemahan yang sering kali dibangkitkan parti lawan
kebelakangan ini sebelum betul-betul terlambat.
Penganalisis politik, Dr Rusdi Omar berkata, jika pimpinan yang ada
masih dibuai aura Allahyarham Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik
Mat tanpa menyusun gerak langkah, kemungkinan besar parti itu ditimpa
masalah pada PRU14 nanti.
Menurutnya, bukan mustahil sekiranya Pas tidak berbuat sesuatu dan
terus dengan keegoannya, justeru memungkinkan parti itu bakal berputih
mata pada pilihan raya umum yang dijangka hangat kali ini.
“Pimpinan Pas terutama di Kelantan mestilah berfikiran waras dan matang dalam apa jua tindakan termasuk ucapan mereka.
“Jangan kita bongkak, sombong dan angkuh dalam setiap tindakan. Nanti
masyarakat akan gelak kepada kita,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau mengulas tindakan Pas yang sejak akhir-akhir ini dilihat semakin
mendabik dada ketika mana hubungan akrab dengan Umno semakin menyerlah
biarpun dinafikan.
Terbaharu, Naib Presiden Pas yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan,
Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dengan yakinnya mengeluarkan kenyataan
parti itu bersedia bergerak sendirian dan bertanding di semua kerusi
pada PRU14 nanti.
Rusdi berkata, hasrat untuk kekal mentadbir Kelantan dan tidak
mustahil untuk menawan Putrajaya yang dilaung-laungkan Pas juga ibarat
bermimpi di siang hari.
“Persoalannya, kajian mana yang menjadi rujukan beliau. Sekiranya
berlaku pertandingan tiga penjuru di mana-mana negeri agak sukar dan
mungkin mustahil untuk Pas memenangi pilihanraya tersebut.
“Tidak keterlaluan juga, kemungkinan besar negeri Kelantan akan jatuh
ke tangan BN, sekiranya Pas ingin bertanding secara bersendirian,”
katanya.
Kata Rusdi, pemimpin-pemimpin Pas terutama seperti Mohd amar dan
Nasrudin Hassan dilihat seolah-olah bermain dengan pemikiran psikologi
dengan mengatakan bahawa DAP dan Amanah tidak kuat bahkan mudah untuk
ditumbangkan.
“Tetapi realitinya mereka betul-betul rasa tergugat dengan adanya
Amanah dan DAP di dalam Pakatan Harapan di samping sokongan dari PKR dan
Bersatu.
“Kalau tak ada apa-apa ketakutan terhadap parti DAP dan Amanah mengapa
mereka masih menghentam kedua-duanya sekiranya parti ini tidak ada
sokongan. Bukankah pelik nampak cara itu. Sepatutnya mereka tak perlu
kedua-dua parti ini,” katanya.
Tidak menafikan sejarah Pas pernah bersendirian namun Rusdi berkata,
sejauh mana kehebatan parti itu bila tidak berteman juga perlu
direnung-renungkan oleh mereka.
No comments:
Post a Comment