Sinar Harian
3 Mac 2017
SHAH ALAM – Umno Johor menyelar tindakan DAP yang memberi saranan
terhadap Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin supaya
bercuti panjang.
Setiausaha Badan Perhubungan Umno Johor, Datuk Md Jais Sarday berkata,
saranan oleh penasihat DAP, Lim Kit Siang itu hanyalah bermotifkan
politik.
“Dia cuba mengelirukan rakyat kerana pembangkang berhasrat dan berusaha
bersungguh-sungguh untuk merampas Johor pada PRU14 tidak lama lagi.
“Kit Siang sebenarnya tidak faham isu tetapi cuba hendak eksploitasi
perkara ini bagi tujuan mengelirukan rakyat dan merosakkan nama baik
Menteri Besar,” katanya dalam satu kenyataan kepada media, hari ini.
[ARTIKEL BERKAITAN: Isu hartanah: Exco Johor mohon cuti]
Beliau berkata, saranan Kit Siang agar Menteri Besar bercuti sepanjang
siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung skandal
penukaran status Hartanah Bumiputera di negeri itu adalah tidak wajar
kerana ia langsung tiada kaitan dengan Menteri Besar.
“Saya sarankan agar Kit Siang belajar dan fahami dahulu perbezaan
antara tanah (land) dengan hartanah (properties) sebelum cuba
merendah-rendahkan kredibiliti Menteri Besar Johor.
“Sebagai Menteri Besar negeri ini yang berintegriti, beliau telah
menjawab dan memberi penerangan secara jelas berkaitan salah faham
penukaran status tanah kuota Bumiputera di negeri ini,” katanya.
Jelasnya, dasar yang membenarkan pelepasan atau pertukaran status
hartanah rumah Bumiputera kepada status awam sama sekali tidak
melibatkan rumah kos rendah dan mampu milik.
“Penukaran status ini adalah untuk kuota Bumiputera yang melibatkan
rumah-rumah mewah dan bukan dalam kategori Rumah Mampu Milik Johor.
“Perkara ini memang amalan kerajaan negeri bukan sahaja di Johor malah di kesemua kerajaan negeri.
“Kita kenalah adil kepada pemaju juga. Pemaju boleh memohon untuk
menukar status hartanah selepas melepasi tempoh dan syarat tertentu
termasuk promosi pengiklanan melalui surat khabar bagi mengelakkan
lambakan rumah mewah yang tidak terjual kepada Bumiputera, jika tidak
pemaju akan menanggung rugi.
“Sebaiknya sebelum Kit Siang menyerang Menteri Besar adalah lebih baik dia memahami perkara ini terlebih dahulu,” katanya.
No comments:
Post a Comment