Sinar Harian
TIDAK salah bergurau dengan orang sekeliling kerana
gurauan dalam kehidupan boleh menceriakan hari-hari yang dilalui oleh
kita dan orang di sekeliling kita.
Namun gurauan yang agak keterlaluan atau dipanggil 'prank' boleh mengundang padah sekiranya ia melebihi batasan.
Ini yang berlaku kepada Tysen Benz, 11, yang mengambil tindakan
menamatkan riwayat hidupnya sendiri selepas 'teman wanita'nya yang
berusia 13 tahun melakukan 'prank' dengan membuat kenyataan palsu
mengenai kematiannya.
Kekasih Benz dikatakan membuat kenyataan menerusi laman sosial yang mengatakan dia telah meninggal dunia.
Remaja itu turut meminta bantuan rakannya untuk membuat kenyataan sama
bagi meyakinkan Benz yang dia telah meninggal dunia akibat bunuh diri.
Benz yang terkejut dan kecewa dengan kenyataan yang dibaca menerusi
ruangan media sosial itu mengambil keputusan sama untuk bersama dengan
teman wanitanya.
Akibat perbuatan itu, Benz dikejarkan ke hospital sebaik sahaja ditemui tidak sedarkan diri oleh ibunya.
Tidak dapat diselamatkan, Benz akhirnya meninggal dunia pada 4 April lalu.
Ibu Benz, Katrina Goss memberitahu New York Post yang dia tidak pernah
tahu tentang hubungan 'cinta' antara anaknya dengan gadis remaja
terbabit.
Malah menurut Goss lagi, Benz tidak pernah menemukan mereka berdua sebelum ini.
"Saya tidak tahu kenapa dia (remaja perempuan tersebut) perlu mereka
situasi yang bersifat manipulasi seperti itu," katanya seperti yang
dipetik menerusi Metro.co.uk.
Sehubungan itu, Goss menggesa remaja tersebut berdepan dengan undang-undang dan dibicarakan di mahkamah atas perbuatannya.
"Ya, memang saya rasa sangat marah. Ya, mereka memang masih muda, tapi
saya rasa sebagai remaja yang berusia 13 tahun dan cukup tahu untuk
membuat keputusan dan tahu tentang yang mana betul atau salah, kamu
boleh buat pilihan sebenarnya.
"Saya rasa dia mengambil kesempatan atas seorang kanak-kanak lelaki
yang lebih muda daripadanya, cuba memanipulasi dan mengawal dengan
sepenuhnya. Dia sepatutnya bertanggungjawab sepenuhnya atas gurauan yang
dikenakan ke atas anak saya," katanya lagi.
No comments:
Post a Comment