Sinar Harian
ROME - ITALI. Seorang ibu yang kecewa dengan kematian anaknya akibat
anoreksia, mengambil keputusan membuang mayat wanita itu ke laut.
Mayat Katerina Laktionova, 27, ditemui di dalam bagasi dengan keadaan
fizikal menunjukkan dia mengalami kekurangan gizi makanan di perairan
Ramini oleh nelayan Itali.
Ibu berusia 48 tahun itu yang tidak dinamakan bekerja di Itali sebagai
jururawat terbang kembali ke Rusia selepas melupuskan mayat itu dan
memberitahu rakannya di Ramini.
Wanita itu mengakui menjadi gila kerana tragedi kematian anak
perempuannya akibat anoreksia dan mahu memadam segala kenangan bersama
beliau.
"Dia sudah mati, saya menjaganya beberapa hari dan saya hilang
pertimbangan dan meletakannya dalam beg pakaian dan melemparkan ke
laut," katanya.
Wanita itu mengakui menyimpan mayat anaknya selama seminggu sebelum melemparkannya ke laut, lapor Mail Online.
Susulan insiden, polis Itali melancarkan siasatan jenayah ke atas kematian bekas model itu.
Difahamkan, semasa meninggal dunia, berat Katerina hanya 35 kilogram.
Laporan mengatakan, wanita itu telah lama menyedari anak perempuannya
sakit tenat dan telah berusaha membantu untuk tempoh yang panjang malah
baru-baru ini, dia turut membawa pulang ke Rusia untuk rawatan.
Sementara itu, bapa Katerina, Alexander, 46 berkata, bekas isterinya itu berhijrah ke Itali dua tahun lalu bersama Katerina.
'Anak perempuan saya sudah menderita hilang selera makan, " katanya.
Memetik laporan dari agensi berita Tass, mangsa meninggal dunia akibat kekurangan zat makanan.
Pejabat Kedutaan Rusia di Rome berkata, pihaknya telah mengemukakan
semua dokumen yang diperlukan kepada pihak berkuasa Itali bagi
mengesahkan kewarganegaraan dan identiti mangsa.
'Kami belum menerima jawapan rasmi," kata sumber.
Polis Itali sebelum ini mengesyaki mayat yang ditemui itu adalah
seorang wanita Jerman yang hilang dari kapal pelayaran pada bulan
Februari.
No comments:
Post a Comment