Naib presiden PKR itu berkata tidak timbul isu melaporkannya kepada SPRM kerana badan itu sudah pun menyiasat.
KUALA
LUMPUR: Naib Presiden PKR Rafizi Ramli mendakwa ada bukti menunjukkan
aliran dana daripada akaun berkaitan 1MDB kepada “tokoh yang rapat
dengan pimpinan PAS”.
Beliau juga berkata desakan Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin
Hassan semalam agar beliau membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan
Rasuah Malaysia (SPRM) tidak timbul, kerana mendakwa badan itu sudah
pun menyiasat aliran dana itu.
“Saya akan mendedahkan nama tokoh tersebut dalam masa beberapa minggu
ini, dan akan membuat laporan SPRM agar mereka dapat merujuk kembali
kertas siasatan itu,” katanya dalam kenyataan.
Semalam, Rafizi mendakwa mempunyai bukti menunjukkan ada individu
yang rapat dengan PAS menerima dana daripada 1MDB, dan mendesak Presiden
Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjawab persoalan itu.
Sidang media itu diadakan sebaik selepas sesi Dewan Rakyat berakhir
dengan kekecohan, susulan Ahli Parlimen Pakatan Harapan tidak berpuas
hati kerana tidak diberikan ruang untuk berbahas selepas pembentangan
usul pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU
355).
Rafizi berkata pendedahannya nanti akan memberikan ujian besar kepada
Umno, selepas sebelum ini peguam negara dibidas kerana tidak mahu
meneruskan siasatan mengenai aliran dana ke dalam akaun peribadi milik
Datuk Seri Najib Razak.
“Pimpinan PAS segenap peringkat pula perlu menyemak sama ada pernah
menerima bantuan kewangan dan infak daripada tokoh yang akan saya
namakan, kerana kemungkinan besar ia wang rakyat melalui 1MDB,” katanya.
Rafizi menambah, PAS akan terus “dipegang” Najib untuk kekal tidak
bersama-sama pembangkang yang lain, menerusi dana itu dan isu RUU 355.
Menurutnya, beliau sebelum ini bersangka baik dan berharap agar RUU
itu dapat dibahaskan seperti RUU lain, namun episod semalam membuktikan
isu itu hanyalah bahan politik demi survival politik Najib.
“Maka menjadi tanggungjawab saya berdepan terus dengan PAS dan Umno
dalam 2 isu ini, supaya rakyat boleh kembali kepada isu paling penting
seperti kebajikan, kenaikan harga barang dan kurangnya peluang
pekerjaan,” katanya.
No comments:
Post a Comment