4/4/17 Malaysiakini
Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang menimbulkan apa yang disifatkannya
sebagai soalan mudah dan jelas, kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib
Razak.
Pada sidang media di Parlimen hari ini, ahli parlimen Gelang Patah
itu menyoal berapa kali Najib pernah berjumpa dengan ahli perniagaan
kelahiran Malaysia Jho Low yang menjadi tumpuan susulan skandal 1MDB,
selepas pilihan raya umum lalu pada tahun 2013.
Sambil menuntut untuk jawapan "di mana dan bila" pertemuan itu
diadakan, Lim juga menyoal Najib jika beliau berjumpa dengan Low semasa
lawatan rasmi terakhirnya ke China pada November 2016.
Lim juga mahu tahu apa yang dibincangkan pada perjumpaan itu, jika benar ia diadakan.
"Dan apa yang mereka bincangkan semasa perjumpaan selepas pilihan
raya umum ke-13, apabila Low sama sekali ditolak oleh rakyat Pulau
Pinang walaupun menghabiskan sepuluh juta ringgit untuk menjatuhkan Lim
Guan Eng sebagai ketua menteri dan kerajaan negeri pimpinan DAP,”
katanya.
Lim juga menyoal sama ada Najib berani untuk mengakui bahawa dirinya
tidak pernah berjumpa Low, atau nama sebenarnya Low Taek Jho, selepas
pilihan raya umum lalu.
Ahli politik veteran itu juga menjadikan Menteri di Jabatan Perdana
Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan, sebagai sasaran bidasannya.
"Bolehkah rakyat mengharapkan pengarah Komunikasi Strategik BN (Abdul
Rahman) menyampaikan soalan ini kepada perdana menteri dan bukannya
terlibat dalam kempen fitnah dalam usaha melakukan 'pembohongan
strategik'?" sindirnya.
Lim menuduh Umno dan BN melancarkan kempen yang dirancang untuk memburuk-burukkan beliau.
Buktinya, kata ahli parlimen Gelang Patah itu, Utusan Malaysia
menggunakan logo khas dengan gambarnya bersama Datuk Seri Anwar
Ibrahim, Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Azmin Ali, Datuk Seri Dr
Wan Azizah Wan Ismail dan Mohamed Sabu, dengan kata-kata "Asalkan Bukan
Pakatan Kit Siang".
Logo itu, kata Lim, bertujuan untuk menunjukkan bahawa beliau selaku
"tuan" manakala pemimpin lain dalam pakatan pembangkang adalah "macai"
beliau.
"Saya ingin membuat rayuan kepada pemimpin Utusan Malaysia
dan Umno - jangan hina atau memburukkan bangsa Melayu sendiri dengan
mencadangkan bahawa pemimpin Melayu yang pernah menjadi perdana menteri
atau timbalan perdana menteri, presiden atau timbalan presiden Umno,
adalah pemimpin yang bermoral rendah atau berkaliber mampu menjadi
boneka atau tali barut selepas meninggalkan jawatan mereka," katanya.
No comments:
Post a Comment