Sinar Harian
IPOH – Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria meminta kerajaan
menarik kembali pindaan terhadap Akta Memperbaharui Undang-Undang
(Perkahwinan dan Penceraian) 1976 (Akta 164) daripada dibentangkan di
Dewan Rakyat.
Menurutnya, cadangan pindaan Akta 164 itu dilihat bertentangan dengan
Islam dan hukum syarak seperti yang diputuskan dalam Muzakarah
Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan ke-87 pada Jun 2009.
“Pada muzakarah itu memutuskan bahawa apabila salah seorang pasangan
ibu atau bapa yang memeluk Islam, status agama anak-anak di bawah umur
secara langsung adalah Islam dan ia diterima dalam negara.
[ARTIKEL BERKAITAN: Pindaan Akta 164, mencabar aqidah Islam: Nasrudin]
“Pembentangan (Akta 164) ini seolah-olah memperlekeh dan menghina serta
tidak menghormati fatwa. Diharapkan kerajaan menarik balik pindaan itu
agar tidak menimbulkan kekeliruan.
“Saya nasihatkan kepada semua ahli kerajaan atau pemegang tampuk kuasa
untuk menghormati perlembagaan, melaksanakan perlembagaan, menghormati
agama serta menghormati perasaan rakyat beragama Islam dalam negara,”
katanya pada sidang media di Pejabat Mufti Perak di sini, hari ini.
Terdahulu, Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan berkata, pindaan Rang
Undang-undang (RUU) Pindaan Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan
dan Perceraian) 1976 [Akta 164] wajar diteliti semula sebelum
dibentangkan di Dewan Rakyat.
Ini kerana menurutnya, akta ini melibatkan isu sensitif iaitu melibatkan status aqidah anak-anak.
“Pindaan ini akan merobek aqidah anak kecil dan memberi kemenangan
kepada perjuangan Suruhanjaya Antara Agama (IFC) suatu masa dahulu yang
kita sama-sama telah tolak dahulu secara keseluruhannya,” katanya dalam
satu kenyataan.
No comments:
Post a Comment