SUBANG JAYA - “Mereka boleh katakan apa saja mereka suka...tapi kita
ada cukup bukti untuk tahan dia (Siti Noor Aishah Atam),” kata Ketua
Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.
Menurutnya, polis tidak menganiaya bekas pelajar sebuah universiti
tempatan berusia 29 tahun itu kerana mempunyai bukti yang mencukupi
untuk menahan dan melakukan siasatan terhadapnya.
“Kadang-kadang orang tak mahu mengaku apa dia buat...mana ada orang
salah cepat mengaku dia bersalah, janganlah baru sekarang nak cakap tak
buat itu, tak terlibat dan sebagainya.
“Kita tak aniaya dia, malah kita ada cukup sebab dan alasan untuk tahan
dan siasat dia... Apapun kita mematuhi peruntukan undang-undang negara
dan tak lakukan sesuatu di luar bidang kuasa,” katanya pada sidang media
selepas Majlis Minum Petang Persatuan Kepolisan Masyarakat Malaysia
bersama Ketua Polis Negara, petang tadi.
Siti Noor Aishah sebelum ini ditahan di bawah Akta Kesalahan
Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) dan Akta Pencegahan
Jenayah 1956 (Poca) kerana memiliki 12 buku yang didakwa berkaitan
kumpulan pengganas dan difahamkan kini ditempatkan di Penjara Kajang.
Bapanya, Atam Jusoh kemudian bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO)
dan beberapa ahli parlimen Pakatan Harapan hadir ke Dewan Rakyat semalam
menghantar memorandum kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung
penahanan anaknya.
Memetik kenyataannya di sebuah laman portal berita kelmarin, Atam
memberitahu terkejut dengan penahanan anaknya dan memaklumkan Siti Noor
Aishah membuat kajian dan hanya seorang pelajar.
No comments:
Post a Comment