Dia mendakwa dipaksa berpakaian seperti jururawat
sebelum diserang secara seksual oleh kakitangan rumah kebajikan
kendalian kerajaan itu.
MELAKA:
Presiden sebuah NGO secara terbuka berkata dia diliwat ketika menghuni
sebuah rumah kebajikan yang menempatkan kanak-kanak lelaki antara 1999
dan 2004.
Pengalaman traumatik itu menyebabkan Muhammad Khairul Hafiz mencari
keadilan untuk dirinya dan ramai lagi kanak-kanak lelaki yang didakwa
menjadi mangsa liwat beberapa kakitangan rumah kebajikan kendalian
kerajaan itu.
The Star melaporkan pada 2012, Khairul membuat laporan polis mendakwa
beberapa kakitangan rumah kebajikan itu meliwat atau mendera secara
seksual kira-kira 150 penghuni sejak 2004.
Khairul yang juga presiden Pertubuhan Kebajikan dan Sosial (Perbak)
memberitahu The Star dia juga dipaksa berpakaian seperti jururawat
sebelum didera secara seksual.
“Saya tidak malu untuk menyatakan mengenai kejadian diliwat itu,
malah 3 yang lain turut menerima nasib sama,” katanya kepada akhbar itu.
Khairul mendakwa, seorang mangsa yang dikenali sebagai Anbarasu kini seorang pondan dan menetap di Ipoh.
Katanya, pengalaman pahit yang dilaluinya itu menyebabkan dia mahu
memperjuangkan hak bekas penghuni dan mereka yang menetap di rumah
kebajikan itu.
“Kanak-kanak lelaki di situ kebanyakan datang daripada keluarga
miskin dan terpaksa mendiamkan diri kerana laporan yang dibuat terhadap
pengurusan rumah kebajikan itu tidak diambil tindakan susulan kekurangan
bukti.
“Ada beberapa kes saja yang mendapat perhatian,” katanya dipetik daripada akhbar itu.
Khairul berkata dia berdepan pelbagai halangan termasuk dipanggil
penipu, ketika cuba mendedahkan apa yang berlaku di rumah kebajikan itu.
Selepas 5 tahun mengumpul bukti, Khairul berjaya meyakinkan
“seseorang yang berkuasa” di Putrajaya yang mahu mendengar masalahnya.
Katanya, dia bertemu dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat pada Selasa
dan diberitahu beberapa individu yang terlibat dalam kes mendera anak
yatim di rumah berkenaan sudah pun dipindahkan keluar.
Khairul akan membuat laporan polis di Putrajaya pada Jumaat.
“Sidang akhbar akan diadakan di Putrajaya untuk memperincikan kes
terdahulu yang masih belum didedahkan. Saya akan serah pada pihak
berkuasa untuk mengenal pasti mereka yang bertanggungjawab,” katanya.
The Star pada 14 Mac melaporkan, 2 penghuni rumah kebajikan itu yang
berusia 13 dan 16 tahun dimasukkan ke Hospital Melaka selepas dilaporkan
diserang warden premis itu kerana didakwa mencuri dan merokok.
No comments:
Post a Comment