IPOH – Polis Perak berjaya memberkas seorang ah long bersama dua
individu yang dipercayai pekerjanya cuba menunaikan 10 cek bernilai
RM350,000.
Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Deputi Superintendan
G Moses berkata, ah long berusia 65 tahun itu ditangkap di Falim
kira-kira 11 pagi semalam manakala dua pekerjanya ditahan di Batu Gajah
jam 3.50 petang hari sama.
Menurutnya, mangsa yang juga pemilik kilang perabot sebelum ini pernah
meminjam wang daripada ah long berkenaan pada 2010 hingga 2012 sebanyak
RM350,00 bagaimanapun telah membayar semula secara berperingkat selama
tiga tahun.
“Dalam tempoh itu, mangsa telah membayar RM393,000 namun malang baginya
pada Mei lalu, ah long berkenaan memintanya untuk membayar semua
pinjaman tersebut.
“Mangsa juga ditangkap ah long itu ketika keluar makan tengah hari dan
dibawa ke Falim sebelum mengarahkannya mengeluarkan 10 cek bernilai
RM350,000,”katanya ketika sidang media hari ini.
Moses berkata, mangsa yang kerugian RM78,100 bertindak membuat laporan
polis selepas diugut ah long berkenaan yang mahu datang ke rumah untuk
mengganggu dan mencederakan mereka sekeluarga serta mengambil gambar
kilang perabotnya.
No comments:
Post a Comment