Malaysiakini 15/7/17
ULASAN l Semalam
saya berjabat tangan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad. Untuk kali ke
berapa saya tidak ingat. Saya cium tangan tuanya dan ucap terima kasih.
Jam sudah menunjukkan lewat 12.30 tengah malam. Sidang
media Majlis Presiden Pakatan Harapan baru sahaja selesai. Baru mencecah
usia 92 tahun, beliau pasti sahaja keletihan; duduk bermesyuarat sejak
jam 8.50 malam.
Sisi gelap saya tiba-tiba berbisik jahat. “Hang tak rasa jijik ka salam cium tangan orang tua tu?”
Lama juga saya duduk termangu dalam kereta sebelum
beransur pulang. Memikirkan hal itu - bagaimana Mahathir yang dahulunya
saya benci, kini menjadi orang yang saya hormati.
Ketika perhimpunan BERSIH4 berlangsung di Dataran
Merdeka, saya bertugas menyelia media. Maka saya tidak turun ke
lapangan. Sekonyong-konyong tibalah berita bahawa Mahathir sudah
mencemar duli, dan mahu berucap kepada para demonstran.
Darah saya menyirap. Mana mungkin punca segala gila ini
diberi peluang naik ke pentas dan mencuri tumpuan daripada tuntutan
BERSIH yang tidak disokongnya. Jangan benarkan dia berucap, tegas saya.
Keesokannya Mahathir datang lagi, mengulang mesej
serupa. Hadir tidak kerana menyokong tuntutan BERSIH, tetapi untuk
bersama orang ramai yang mahu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak
dilengser. Tersudut dan tidak diberi ruang oleh para aktivis, Mahathir
sekadar bikin sidang media.
Mana pula kita menyangka Mahathir akan duduk semeja
dengan bekas-bekas banduan bawah tahanan ISA yang dikurungnya,
menandatangani Deklarasi Rakyat. Macam orang bodoh juga saya ke acara
itu. Dengan panas berkuap, ruang dipenuhi wartawan; saya hanya mendengar
suaranya sahaja menuturkan tuntutan reformasi institusi.
Saya ketawa berdekah. Dunia sudah terbalik. Mahathir
sudah jadi pembangkang. Dan dengan bertukarnya Mahathir menjadi
pembangkang, maka bermulalah dekonstruksi segala yang telah terbina
dengan dua tangan yang baru saya salam itu. Tidak kiralah yang buruk
mahu pun yang baik.
Kemuncak dekonstruksi ini saya rasakan bermula dengan
perhimpunan BERSIH 5,ketika Mahathir dikhabarkan tidak akan hadir kerana
berada di luar negara. Mahathir ternyata muncul, turun dari pesawat
siap dengan kemeja T BERSIH5 dan memberi ucap Utama ketika finale perhimpunan tersebut di perkarangan KLCC; bangunan ikonik yang direkanya sendiri.
Karat dosa
Itu kemudiannya disusuli penubuhan parti cap bunga raya
bagi gerombolan yang meninggalkan Umno, dan kemudian diikuti aksi-aksi
bersama pimpinan Pakatan Harapan, menafikan fitnah-fitnah lampau dan
berkemuncak dengan gambar bersalaman dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim di
mahkamah.
Mahathir ternyata melalui jalan panjang untuk membasuh
karat dosa-dosa lalu. Entah berapa baldi ludahnya sepanjang puluhan tahu
terhadap parti-parti pembangkang telah ditogoknya semula. Berapa berat
pula ego yang perlu dibuangnya untuk duduk sebaris bersama musuh-musuh
lama yang pernah disumbat ke penjara.
Pada usia 92 tahun, Mahathir telah menyaksikan negara
ini dibangun dari puing dan debu sehingga menjadi apa yang kita saksikan
hari ini. Dua puluh tahun menjadi kepala negara, Mahathir kini sedang
merungkai sendiri simpul mati yang diikatnya sendiri dengan tangan tua
itu.
Semua ini saya kira adalah ritual istighasah
bagi seorang Mahathir, untuk membersihkan dosa dan kesilapan lampau
sebelum mewariskan negara kepada anak cucu cicit yang bakal menyusul.
Tangannya yang membina, tangan itu jugalah yang
meruntuh. Tangan itulah juga barangkali yang akan melayangkan panah
Arjuna tepat ke dada para kleptokrat yang sedang tenggelam dalam
kemabukan kuasa di Putrajaya.
Apa kena mengena panah Arjuna dan Mahathir?
Dalam hikayat Mahabharata, ketika perang Bharatayuddha,
Arjuna, salah seorang Pandawa Lima menggunakan senjata busur dan anak
panah Rudra.
Peperangan masuk hari ketujuh belas, dan Arjuna terlibat dalam pertempuran sengit melawan Karna, panglima pihak Korawa.
Sedang saling menyerang, ditakdirkan kereta kuda Karna
telah terperosok ke dalam sebuah lubang. Karna kemudian terpaksa turun
dari pedatinya itu bagi mengangkatnya keluar dari lubang tersebut.
Arjuna, mematuhi peraturan pertarungan menghentikan
bedilannya, sementara Karna selesai membebaskan pedatinya yang
tersangkut. Pada ketika itu, Krishna yang menjadi ‘kusir’ pedati perang
Arjuna mengingatkan si Pandawa itu tentang kematian tragis anaknya,
Abimanyu yang terkorban pada hari ketiga belas.
Abimanyu terbunuh dalam keadaan tidak bersenjata dan
tanpa kenderaan. Kepalanya dihentak hancur berkecai setelah kuda dan
kusirnya dibunuh, dan perisainya habis luluh.
Berhadapan pergolakan antara emosi dan pertimbangan
akal, Arjuna melepaskan anak panahnya tepat ke tenggorok Karna, lalu
menembus kepalanya.
Dari illuminati kepada Star Trek
Pakatan Harapan semalam menampilkan lambangnya yang baru dipersetujui setelah cadangan terdahulu ditolak mentah-mentah kerana buruk yang amat. Lambang yang baru ini meletakkan suatu bentuk seperti anak panah di tengah-tengah kata HARAPAN, menggantikan huruf A.
Pakatan Harapan semalam menampilkan lambangnya yang baru dipersetujui setelah cadangan terdahulu ditolak mentah-mentah kerana buruk yang amat. Lambang yang baru ini meletakkan suatu bentuk seperti anak panah di tengah-tengah kata HARAPAN, menggantikan huruf A.
Meski disebut orang sebagai simbol illuminati, bukit,
Star Trek, ciplak logo Parti Demokrat Singapura dan sebagainya, saya
melihat simbol di tengah-tengah itu sebagai sebilah anak panah.
Seakan-akan kena dengan seloka yang ditulis arwah Adlan Benan Omar pada tahun 1992:
Kulayangkan panah ke udara
Hilangnya jatuh entah ke mana
Nun jauh di kebun getah
Bila kuambil tak jua patah
Hilangnya jatuh entah ke mana
Nun jauh di kebun getah
Bila kuambil tak jua patah
Memang canggung sebenarnya melihat semua ini. Seloka
orang Anwar, bagai perekat mencantum kembali carik-carik bulu ayam sejak
hampir dua puluh tahun lampau. Akhirnya biduk lalu, kiambang bertaut.
Anwar dan Mahathir kembali bersama di baris depan pertempuran
Kurukshetra, menentang saudara lama yang kini gelong mabuk kuasa.
‘United Front’ parti-parti pembangkang dengan
panji-panji merah berhias anak panah, berdepan gabungan BN. Tiada yang
lebih ‘epik’ dari ini dalam sejarah pertempuran politik di Malaysia.
Cuma tidaklah ‘epik’ macam Mahabharata.
Semalam, saya melihat Tun perlahan-lahan mengatur tapak
menuju keretanya dengan nombor pendaftaran W2020M. Beliau sebelum itu
memandang sekeliling ke arah ramainya orang yang baru turun dari ibu
pejabat PKR itu.
Saya merenung matanya agak lama. Sedikit sayu
barangkali, melihat mata tuanya yang berkaca. Mata yang sama telah
melihat legasi pemerintahan lampau dicemari anak didik sendiri yang kini
harus diperangi habis-habisan. Sepasang mata itu semalam kelihatan cuba
merakam sejarah yang tidak pernah beliau sendiri impikan.
Sejarah di mana seorang Mahathir memihak kepada
pembangkang, mengatur gerak menuju pilihanraya; untuk menewaskan parti
yang dibinanya sendiri dengan tangan tua yang saya ciumi itu.
Tiada yang jijik tentang mencium tangan Mahathir.
Generasi saya dan yang seterusnya lahir di zaman Mahathir diangkat sang
dewata raya yang penuh berjasa kepada bangsa dan negara. Meski tangannya
itu terpalit nista Reformasi 1998; saya kira tindakannya sepanjang
waktu ini sudah lebih dari cukup untuk membasuh segala cela dan daki.
Tidaklah saya mengatakan bahawa tangan Mahathir itu suci murni.
Tetapi jika ada yang masih mendesak orang tua itu untuk
melutut memohon maaf setelah segala yang dia lakukan setakat ini; saya
kira itu melebih-lebih dan suatu kekejaman.
Tangan itu sekarang sedang menggamit kita semua untuk
menyelamatkan negara. Kalau hanya kerana itu tangan Mahathir maka kita
berpaling; maka kitalah yang sebenarnya jijik dan celaka.
IZMIL AMRI merupakan penulis dan pemerhati politik
No comments:
Post a Comment