Malaysiakini 11/7/17
Datuk Seri Anwar Ibrahim menganggap, laporan mengaitkan beliau dengan
serangan pengganas di Lahad Datu oleh Sistem Televisyen Malaysia Berhad
(TV3) sebagai suatu tuduhan serius dan bersifat fitnah.
Kata bekas timbalan perdana menteri itu, laporan disiarkan oleh
stesen teelvisyen berkenaan melalui slot berita perdana pada 5 Mac 2013
menjejaskan beliau serta Pakatan Rakyat.
Hal itu kerana, kata Anwar, 69, ia menyebabkan orang ramai keliru dan
diracuni propaganda ketika negara semakin menghampiri tempoh pilihan
raya.
"Laporan itu menunjukkan seolah-olah saya seorang pengkhianat negara
dan bersedia membenarkan pencerobohan ke atas negara saya sendiri.
"Laporan itu mencemar imej dan kredibiliti saya sebagai seorang pemimpin pembangkang.
"Mereka (TV3) tidak memberi saya sebarang peluang untuk menjawab sebaliknya terus menyerang saya.
"TV3 telah melanggar etika media, kesopanan, kebudayaan dan Islam," katanya.
Anwar - yang kini menjalani hukuman penjara - memberi keterangan itu dalam samannya terhadap TV3.
Bekas anggota parlimen Permatang Pauh itu menyaman stesen televisyen
berkenaan sebanyak RM100 juta ekoran laporan Buletin Utama yang memetik
berita Utusan Malaysia mendakwa beliau menjadi antara dalang di sebalik
serangan pengganas di Sabah lebih empat tahun lalu.
Akhbar harian berkenaan sudah memohon maaf dan menarik balik laporan itu selepas Anwar memfailkan saman terhadap mereka pada Oktober tahun lalu.
No comments:
Post a Comment