Jamal Yunos mengepalai tunjuk perasaan para nelayan
Sekinchan mendesak kerajaan Indonesia membebaskan 12 nelayan dan 2 buah
bot yang ditahan dan ditunda dari perairan negara.
VIDEO INSIDE
KUALA
LUMPUR: Datuk Seri Jamal Md Yunos hari ini memimpin lebih 50 nelayan
menunjuk perasaan dan menyerahkan memorandum bantahan kepada kedutaan
Indonesia, selepas 12 nelayan Sekinchan ditahan dan 2 bot ditunda dari
perairan negara.
Dalam kejadian tersebut yang berlaku 18 Julai lalu, media melaporkan
pihak berkuasa Indonesia mengejar 3 buah bot nelayan dan menembak salah
satu bot berkenaan. Nelayan yang sempat melepaskan diri berkata pihak
berkuasa Indonesia cuba menahan mereka dalam perairan negara.
Jamal sambil memegang seutas tali tambat bot memberi amaran akan
mengikat pintu kedutaan sekiranya Jakarta enggan membantu menyelesaikan
insiden itu.
“Kami bukan mencari pasal, tetap kami sudah ‘dipasali’ mereka. Ini
bukan kes yang pertama. Boleh dikatakan tiap-tiap bulan perkara ini
berlaku,” kata Jamal kepada pemberita di luar kedutaan.
Beliau berhimpun dalam keadaan cuaca hujan bersama Ahli Parlimen
Sungai Besar Datuk Budiman Mohd Zohdi, yang menggesa Jakarta menghargai
hubungan antara kedua negara.
“Kita harap hubungan yang terjalin antara Malaysia dan Indonesia
sebelum ini tidak dikotori dengan insiden sedemikian rupa, kami mohon
isu ini diselesaikan dengan baik,” katanya.
Jumaat lalu, Barisan Nasional dan DAP Selangor sebulat suara mendesak
Wisma Putra dan kerajaan kedua-dua negara menyelesaikan insiden itu
dengan kadar segera. Mereka mendakwa tindakan pihak berkuasa Indonesia
mencabuli perjanjian persefahaman yang dimeterai Kuala Lumpur dan
Jakarta sebelum ini.
Menurut Jamal, data yang diperoleh dari sistem navigasi menunjukkan
nelayan Malaysia yang diganggu itu tidak menceroboh perairan Indonesia.
Mereka dikatakan kini ditahan di Aceh.
“Ia seringkali berlaku menyebabkan nelayan kita takut untuk menangkap
ikan di negara sendiri,” katanya, dan menempelak pihak berkuasa
Malaysia yang gagal melindungi nelayan tempatan di perairan negara.
“Kami sungguh tidak berpuas hati. Di mana Agensi Penguatkuasaan
Maritim Malaysia ketika bot kita dirampas? Adakah pihak berkuasa kita
yang bertanggungjawab menjaga perairan kita tidur?” soalnya.
Jamal berkata mereka juga akan menyerahkan memorandum kepada
kementerian berwajib. Turut hadir di tunjuk perasaan hari ini ialah
pemimpin MCA Sungai Besar Kek Seng Hooi dan penasihat undang-undang
Gabungan NGO Malaysia Datuk Imran Tamrin
FMT
FMT
No comments:
Post a Comment