Tun Dr Mahathir Mohamad, selepas dicabar untuk bertanding di Pekan,
hari ini mencabar Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussein
supaya bertanding di Langkawi.
Malah, kata bekas perdana menteri itu, Pekan yang adalah kubu Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Razak adalah satu kawasan yang 'pelik' kerana
mempunyai jumlah pengundi yang sentiasa berubah-ubah.
Ahad lalu, Hishammuddin yang juga adalah menteri pertahanan berkata,
kenyataan Mahathir yang ingin bertanding di Pekan sebelum ini bersifat populis dan mencabar bekas bosnya itu untuk bertanding di Pekan.
"Saya
cabar dia (Hishammuddin) bertanding di Langkawi," katanya pada sidang
media di Pejabat Ketua Pembangkang di Parlimen hari ini.
"Berkenaan Pekan ada benda pelik sikit. Ada satu masa jumlah pengundi dia 35,000 orang...
"Lepas itu bila ada pilihan raya sekali lagi, pengundi dia meningkat
sebanyak 80,000. Tak tahu dari mana (pengundi itu datang), dia (Najib)
pun menang banyak ribu.
"Itu bukan kawasan pilihan raya, itu kawasan hantu raya," katanya
tanpa menyebut tahun pilihan raya mana yang dirujuknya itu. Najib
menjadi Ahli Parlimen Pekan sejak tahun 1976 selepas menggantikan
ayahnya Allahyarham Abdul Razak Hussein yang juga adalah perdana menteri
kedua negara.
Sementara itu, mengulas mengenai tawaran
anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Puad Zarkashi untuk menggantikan
Najib dalam program Nothing to Hide 2.0, Mahathir berkata beliau tidak
patut berbuat demikian.
"Usahlah nak tolong dia punya bos. Pi pujuk bos dia tu jangan takut. Orang tua ni bukan boleh buat apa kat dia (Najib).
"Dia (Najib) 62 tahun, saya 92 tahun, cakap pun tak betul. Dia takut lagi?" soal Mahathir.
Program
yang dirancang itu bertujuan memberi peluang kepada kedua-dua, Najib
dan Mahathir untuk menjawab tuduhan terhadap diri masing-masing.
Mahathir berkata program itu juga dalam memberikan rakyat peluang untuk membuat pertimbangan terhadap hujah masing-masing.
Pada 5 Jun tahun lalu, Mahathir mencuri perhatian apabila hadir ke
acara Nothing to Hide di ibu negara yang dilihat bakal mempertembungkan
beliau dengan Najib.
Najib tidak hadir ke acara dialog itu dan polis memberikan alasan
keselamatan. Mahathir juga diberhentikan ketika sedang berucap dan
diiring keluar oleh pihak berkuasa
Malaysiakini
No comments:
Post a Comment