PUTRAJAYA - Empat universiti penyelidikan Malaysia dijangka mampu
menempatkan diri masing-masing dalam kelompok 200 terbaik dunia dalam
masa dua ke tiga tahun dari sekarang, kata Menteri Pendidikan Tinggi,
Datuk Seri Idris Jusoh.
Katanya, universiti berkenaan adalah Universiti Putra Malaysia yang
kini menduduki tangga ke-229, Universiti Kebangsaan Malaysia (230),
Universiti Teknologi Malaysia (253) dan Universiti Sains Malaysia (264).
“Universiti Malaya (UM) yang kini berada pada kedudukan ke-114 pula
dijangka menempatkan dirinya di kedudukan 100 terbaik dunia dalam masa
setahun ke dua tahun akan datang," katanya pada Majlis Rumah Terbuka
kementeriannya di sini hari ini.
Idris berkata, sasaran kementerian seterusnya adalah menempatkan UM dan
mungkin universiti penyelidikan yang lain pada tangga 20 terbaik dunia
menjelang 2050.
"Melalui beberapa pengiktirafan dunia yang diraih bidang pendidikan
tinggi negara pada tahun ini telah menggambarkan sentiasa berlaku
peningkatan pada kualiti sistem pendidikan di universiti awam,” katanya.
Idris berkata, beliau bertemu dengan kesemua naib canselor universiti
penyelidikan hari ini bagi membincangkan cara untuk meningkatkan
pengiktirafan dunia terhadap pendidikan negara.
Beliau berkata, kekangan kewangan universiti awam juga tidak seharusnya
menjadi penghalang untuk universiti berkenaan terus maju. - Bernama
No comments:
Post a Comment