Malaysiakini 18/7/17
Anggota Parlimen Puchong mencabar Peguam Negara Tan Sri Mohamed
Apandi Ali mendedahkan perjalanan wang yang menyokong dapatan pihak
berkuasa bahawa dana bernilai RM2.6 bilion dalam akaun persendirian
Datuk Seri Najib Razak benar-benar suatu derma.
"Apa yang susah sangat nak buat begitu?" kata Gobind Singh Deo melalui mesej teks kepada Malaysiakini hari ini.
Gobind mengulas kenyataan dibuat Apandi bagi menafikan dakwaan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam ceramahnya malam tadi.
Bekas perdana menteri itu mendakwa Apandi menyembunyikan bukti berkaitan skandal 1MDB yang dikaitkan dengan Najib.
Gobind yang juga ketua biro undang-undang DAP berkata, Apandi
sepatutnya tahu benar mengenai asas prinsip keadilan ialah tiada seorang
pun berhak membuat penghakiman dalam sesuatu isu jika ia melibatkan
kepentingannya sendiri.
Guna OSA
Justeru kata Gobind pengisytiharan Apandi dalam kes-kes yang
melibatkan tingkah lakunya sebagai peguam negara dipertikaikan, tidak
banyak banyak memberi kesan.
"Untuk meyakinkan rakyat Apandi patut mendedahkan laporan yang
menunjukkan laluan wang berkenaan sepenuhnya sebelum beliau membuat
keputusan muktamad (membersihkan perdana menteri daripada salah laku).
"Laporan itu mesti dibentangkan di parlimen dan terbuka kepada orang awam," katanya.
Kata Gobind Apandi perlu berani menyahut cabarannya itu.
"Lagi pun, seperti yang dikatakannya, beliau tidak melakukan sebarang kesalahan atau ada menyembunyikan sesuatu," katanya.
Bercakap
dalam majlis ceramah Pakatan Harapan di Shah Alam malam tadi, Dr
Mahathir berkata, jika gabungan itu berjaya menguasai Putrajaya mereka
akan memanggil Apandi untuk disoal berhubung penggunaan Akta Rahsia
Rasmi (OSA) untuk siasatan skandal 1MDB.
Bagaimanapun Apandi berkata apa yang dilakukannya sebagai peguam
negara dalam siasatan itu dibuat berdasarkan kepada fakta yang
terkandung di dalam kertas siasatan.
"Tiada apa untuk disembunyikan," kata Apandi kepada Malaysiakini.
Pada Januari tahun lalu Apandi membebaskan Najib daripada sebarang
salah laku berhubung kewujudan dana RM2.6 bilion - didakwa sumbangan
derma daripada hartawan Arab - dalam akaun peribadi perdana menteri itu.
Apandi juga mendapati Najib tidak terbabit dalam sebarang salah laku
dalam isu bekas anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn Bhd.
Beliau juga menafikan dakwaan Jabatan Kehakiman AS yang mendakwa dana 1MDB diselewengkan.
No comments:
Post a Comment