Bekas menteri luar Israel, Tzipi Livni berkata,
kerajaan Benjamin Netanyahu perlu menghalang konflik dengan rakyat
Palestin menjadi 'tindakan seluruh umat Islam' menentang Tel Aviv.
PETALING
JAYA: Bekas menteri luar Israel, Tzipi Livni bimbang konflik agama
tercetus antara negara itu dengan dunia Islam susulan langkah
keselamatan kontroversi yang dikenakan ke atas Masjid Al-Aqsa di
Baitulmaqdis.
Livni dipetik media Israel menyifatkan negara itu hanya “selangkah”
daripada mengubah konflik dengan rakyat Palestin kepada “tindakan
seluruh umat Islam” menentang Israel.
Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan pimpinan Benjamin Netanyahu perlu tegas dan menghalang konflik itu berlaku.
Pada 14 Julai lalu, media antarabangsa melaporkan polis Israel
menutup Masjid Al-Aqsa dan tidak membenarkan solat Jumaat diadakan
selepas 3 penduduk Palestin dan 2 polis Israel terbunuh dalam
pertempuran bersenjata di pekarangan masjid itu.
Pasukan keselamatan Israel kemudiannya membuka semula masjid itu dan memasang pengesan logam di pintu masuk tempat suci itu.
Sejak itu, keadaan bertambah tegang dengan pemimpin Islam yang
berkata Israel berhasrat memperluaskan penguasaannya di kawasan terbabit
melalui pelaksanaan langkah keselamatan itu, menggesa umat Islam
menyertai protes besar-besaran pada 21 Julai lalu.
Susulan itu, rejim Tel Aviv mengharamkan lelaki Islam berusia 50
tahun ke bawah memasuki kota lama Baitulmaqdis, lokasi terletaknya
Masjid Al-Aqsa.
Minggu berikutnya, pertempuran tercetus antara umat Islam dan pasukan
keselamatan Israel yang menyaksikan 3 rakyat Palestin terbunuh dan 3
ahli dalam sebuah keluarga Israel maut ditikam seorang pemuda Palestin
berusia 20 tahun di Tebing Barat.
Semalam, Reuters melaporkan pengesan logam itu dikeluarkan dan akan
diganti dengan kamera litar tertutup (CCTV). Rakyat Palestin
bagaimanapun membantah dan mendesak semua langkah keselamatan yang
dilaksanakan Tel Aviv itu dibatalkan.
Jason Greenblatt yang merupakan wakil Donald Trump di Timur Tengah
dilaporkan dihantar ke Tel Aviv untuk cuba meredakan krisis itu. Ini
ialah julung kali presiden Amerika Syarikat campur tangan secara
langsung dalam krisis berkenaan.
Israel berulang kali terbabit dalam konflik dengan negara jiran Arab
sepanjang 69 tahun kewujudannya. Malah, negara itu boleh dikatakan
terlibat dalam perang berterusan sejak ditubuhkan pada 1948.
No comments:
Post a Comment