Tindakan sekumpulan anggota Pemuda Parti Pribumi Bersatu (ARMADA)
menghantar jemputan kepada Datuk Seri Najib Razak untuk menghadiri forum
Nothing To Hide 2.0 bertukar kecoh apabila mereka dihalang oleh Pemuda
Umno.
Kira-kira 30 anggota ARMADA pada awalnya berarak dari Pusat Membeli
Belah Sunway Putra menuju ke Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bagi
menyampaikan jemputan kepada perdana menteri untuk berdebat dengan
Pengerusi BERSATU, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Bagaimanapun mereka dihalang kira-kira 100 Pemuda Umno hingga menyebabkan berlaku tolak menolak.
Dalam kejadian itu, Ketua Penerangan ARMADA, Ashraf Mustaqim mendakwa beliau turut ditumbuk.
“Tujuan kami cuma nak hantar kad jemputan, bukanlah kita nak cari
pasal, kita juga bukanlah berhimpun suka-suka dan bukan nak buat
provokasi.
"Kawan-kawan media boleh nilai sendiri siapa provokasi siapa,” kata Ashraf dalam sidang media selepas insiden itu berlaku.
Sementara itu dalam sidang media tidak jauh dari kumpulan ARMADA
berhimpun, Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan Datuk Razlan Rafii
menafikan dakwaan Ashraf ditumbuk.
“(Kami) nafi tumbuk sebaliknya hanya berlaku tolak menolak.
"Kalau nak belajar politik, belajar dari Umno bagaimana nak pertahankan institusi,” katanya.
“Kalau hendak hantar jemputan ada caranya, hantar elok elok. Ini nak heboh, nak datang ramai-ramai ke bangunan kami.
"Jadi kami bertanggungjawab pertahankan bangunan Umno,” katanya yang
turut mendesak Mahathir menjawab semua tuduhan berkaitan skandal tukaran
wang asing (Forex) pada sekitar 1990-an.
Dalam insiden hari ini, ARMADA memakai baju Melayu merah lengkap
dengan songkok manakala Pemuda Umno pula memakai baju T berkolar
berwarna merah.
Pemuda
Umno turut membawa pembesar suara dan memutarkan rakaman ceramah
Presiden AMANAH Mohamad Sabu, selain turut melaungkan “Baliklah” dan
“Kau sokonglah Datuk Armand”.
Keadaan menjadi kecoh apabila berlaku tolak menolak dan perang mulut selama kira-kira 20 minit antara kedua-dua kumpulan itu.
Kira-kira 20 anggota polis turut dilihat mengawal keadaan.
Sekitar jam 4 petang, kedua-dua kumpulan itu bersurai atas arahan pihak polis.
Pemuda Umno bagaimanapun berpatah semula ke PWTC, manakala anggota
ARMADA pula menuju Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi bagi membuat
laporan polis.
'Kita tunjuk siapa anak jantan'
Sementara itu Exco Pemuda Umno, Datuk Armand Azha Hanifah dalam
ucapannya di PWTC memuji tindakan pemudanya dengan menggelarkan
mereka ‘anak jantan’ kerana berjaya mempertahankan bangunan milik parti
Melayu itu.
“Saya bangga, saya begitu gembira kerana dapat melihat kecekalan pemuda Umno.
“Dengan jelas tadi kita tunjuk, (ARMADA) nak lintas jalan pun tak
lepas. Bukan setakat nak lintas jalan, nak langkah satu langkah ke
hadapan pun tak berani. Hari ni kita tunjuk siapa anak jantan.
“Kalau semangat ini mereka dah tak berani, belum lagi kita bunyikan
gendang perang. Kalau kita bunyikan gendang perang, akan bangkit ratusan
ribu anak pemuda Umno untuk pertahankan martabat agama,” tegasnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi Mohd Sukri Kaman berkata polis masih menjalankan siasatan lanjut terhadap isu itu.
Mohd Sukri juga berkata tiada pemberitahuan bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 dikemukakan kepada polis daerah itu.
Mohd Sukri juga berkata tiada pemberitahuan bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 dikemukakan kepada polis daerah itu.
No comments:
Post a Comment