Tuesday, July 25, 2017

Kenapa Israel henti guna alat pengesan logam?

Sinar Harian
asd
Gambar hiasan
BAITULMAQDIS - PALESTIN. Keputusan Israel menghentikan penggunaan alat pengesan logam di pintu masuk Masjid Al-Aqsa, awal pagi tadi menimbulkan seribu persoalan.

Menurut agensi Berita Turki Anadolu (AA), sebelum tengah malam tadi, jentera berat dilihat memasuki kawasan perkarangan Masjid Al-Aqsa, sekaligus menimbulkan keresahan di kalangan penduduk tempatan yang melancarkan tunjuk perasaan membantah langkah keselamatan terbaharu yang dibuat rejim Zionis sejak minggu lepas.

Kabinet Israel semalam memutuskan untuk membuka semula semua alat pengesan logam yang dipasang susulan kes tembakan yang menyebabkan kematian dua anggota polisnya pada 14 Julai lalu.
Rakyat Palestin bagaimanapun menolak langkah rejim Zionis itu dan sebagai langkah protes, bertindak menunaikan solat di luar masjid berkenaan.

Menurut kenyataan terbaharu pihak rejim, mereka memperuntukkan sebanyak 100 juta shekel Israel (US$28.03 juta) untuk pemasangan sistem keselamatan berteknologi tinggi bagi menggantikan alat pengesan logam itu.

Imam Masjid Al-Aqsa Sheikh Raed Dana ketika diminta mengulas perkembangan terbaharu itu berkata buat masa ini beliau masih tidak mempunyai gambaran sebenar tentang apa yang bakal berlaku di kawasan berkenaan.
"Pengesan logam yang dipasang baru-baru ini, telah dibuka semula. Apa alternatifnya, masih belum dapat dipastikan," katanya.

Menurut imam itu, Yayasan Wakaf yang bertanggungjawab menguruskan tapak suci ketiga umat Islam itu, akan mengadakan perbincangan dengan pemimpin politik berhubung perkara itu pagi esok.

Sejak kira-kira seminggu yang lalu, rakyat Palestin turun ke jalanan di luar kawasan masjid untuk bersolat dan melakukan bantahan secara aman apabila rejim Israel menutup Masjid Al-Aqsa selama dua hari susulan insiden tembakan yang menyebabkan dua anggota polis Israel terbunuh. Tiga suspek - lelaki Palestin yang memiliki kerakyatan Israel turut terbunuh.

"Keputusan Yayasan Wakaf bergantung kepada suara rakyat di jalanan. Jika mereka bersetuju, kami akan bersetuju, jika mereka katakan tidak terhadap langkah keselamatan yang diambil, kami juga katakan tidak," ujar Dana.
Ketika berita mengenai jentera Israel menghampiri Al-Aqsa tengah malam tadi, kumpulan penduduk Palestin turut sama berkumpul di kawasan itu, namun mereka dihalang pengawal daripada menghampiri tapak di mana pekerja sedang membuka semula pengesan logam berkenaan.

Bagaimanapun, secara tiba-tiba pasukan polis rejim menyerbu dan membaling bom asap bagi memaksa mereka bersurai.
Rakyat Palestin membantah langkah keselamatan yang diambil Israel di tapak suci itu dan menganggap tindakan tersebut bakal mengubah status quo serta mengganggu hak lawatan orang Islam ke masjid tersebut. Mereka juga menyifatkan ia sebagai usaha Israel meningkatkan cengkaman di tapak suci itu.
Israel bagaimanapun menegaskan langkah keselamatan itu perlu selepas mendakwa senjata api diseludup masuk ke masjid tersebut awal bulan ini bagi digunakan dalam kes tembakan berkenaan.
Selain itu, kata rejim Israel, pemasangan pengesan logam juga bukan perkara asing di tempat suci yang lain.
Seorang penduduk tempatan, Baha yang tinggal di kawasan kejiranan Ras al-Amoud berkata apa yang berlaku itu menunjukkan 'kelemahan dari segenap aspek, politik dan ketenteraan.
"Ia mendedahkan kami kepada bahaya apabila diperiksa oleh pengawal (Israel)," katanya.

Krisis ketegangan semakin memuncak hujung minggu lalu apabila empat rakyat Palestin terbunuh dalam rusuhan dengan anggota tentera Israel, manakala tiga rakyat Israel mati ditikam seorang remaja Palestin yang menyelinap masuk ke sebuah rumah di penempatan haram di Tebing Barat. - Bernama

No comments:

Post a Comment