Malaysiakini 16/7/17
Pengerusi PKR Pulau Pinang, Datuk Mansor Othman menimbulkan
kecurigaan berhubung pemindahan pengundi ke empat kawasan pilihan raya
yang menyebabkan sama ada parti itu atau Umno menang dengan majoriti
tipis.
"Jumlah pengundi dipindahkan ke empat kawasan pilihan raya, sejak
suku keempat tahun 2015 hingga suku pertama tahun 2017 ialah Seberang
Jaya (852), Sungai Bakap (1,819), Sungai Achech (654) dan Batu Maung
(1,908)," katanya.
Semasa PRU 2013, PKR menang di DUN Seberang Jaya dengan majoriti
2,459 undi, di DUN Sungai Bakap dengan majoriti 1,805 undi dan di DUN
Batu Maung dengan majoriti 3,390 undi.
Umno pula menang di DUN Sungai Acheh dengan majoriti 808 undi.
Mansor berkata, Sungai Bakap menjadi sasaran utama memandangkan
bilangan pengundi dipindahkan melepasi majoriti yang dimenangi oleh PKR
pada tahun 2013.
Beliau berkata, pemindahan pengundi dikesan melalui pendaftaran
pengundi suku tahunan yang dibekalkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya
(SPR).
Sementara itu, penyelaras PKR Pulau Pinang, Ong Eu Leong berkata
pemindahan pengundi ke empat kawasan pilihan raya ini bermula pada lewat
tahun 2015.
Beliau berkata, penyelidikan parti itu menunjukkan bahawa pemindahan
pengundi tidak dilakukan secara berperingkat, tetapi secara kelompok.
Sebagai contoh, daripada 1,819 pengundi yang dipindahkan ke Sungai Bakap, 1,299 telah dipindahkan pada suku pertama 2017.
"Di Seberang Perai, pengundi yang beralih jelas datang dari Telok
Ayer Tawar, terutama di bawah kerusi Parlimen Bagan yang disandang Ketua
Menteri Lim Guan Eng, Bagan Jermal, Bagan Dalam, Sungai Puyu dan Jawi.
"Bagi Batu Maung, banyak pengundi yang dipindahkan dari kawasan
pilihan raya seperti Batu Uban dan Pantai Jerejak, yang semuanya
disandang oleh PKR," katanya.
Ong mendakwa sesetengah pengundi dipindahkan ke kawasan pilihan raya
lain tanpa pengetahuan mereka, dengan menunjukkan satu contoh pengundi
yang dipindahkan dari Bagan ke Teluk Ayer Tawar dan akhirnya ke Sungai
Bakap.
Ong dan beberapa aktivis Pakatan Harapan (HARAPAN) mendapati banyak
pengundi, terutamanya golongan berpendapatan rendah dari kaum India
ditukar alamat MyKad mereka di bawah nama pekerja kebajikan. Berikutan
itu, 29 individu membuat laporan polis.
Ong berkata perkara itu berleluasa di Pulau Pinang, namun keadaan serupa juga dikesan di Johor dan Kelantan.
No comments:
Post a Comment