Untuk menyelesaikan kemelut Felda Global Holdings Berhad (FGV),
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak digesa menyingkirkan semua
pengerusi dan ahli lembaga pengarah badan itu yang didakwa meneruskan
legasi Tan Sri Isa Samad.
Penasihat Suara Generasi Kedua Felda (SGK2F) Datuk Zulkefli Nordin
berkata pengerusi FGV ketika ini, Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob pula tidak
membersihkan ahli lembaga pengarah FGV seperti yang diharapkan.
"Pada peringkat awal semasa beliau baru dilantik, saya beri sepenuh
kepercayaan untuk buat perubahan di FGV. Tetapi apa yang berlaku adalah
sebaliknya.
"Kami rasa terkilan dengan apa yang berlaku di FGV sekarang. Kalau
dulu bila Tan Sri Shahrir Samad ambil alih Felda, alhamdulillah, beliau
buat perubahan yang amat drastik.
"Dia bersihkan ahli lembaga pengarah Felda Investment Corporation (FIC).
"Tetapi ini tidak berlaku di FGV apabila pengerusi baharu dilantik.
Beliau mengekalkan beberapa nama yang mempunyai sejarah kontroversi,"
katanya pada sidang media di Hotel Grand Season Kuala Lumpur hari ini.
Krisis FGV tercetus selepas lembaga pengarah, yang diketuai oleh Isa
mengarahkan presiden dan ketua pegawai eksekutifnya, Datuk Zakaria
Arshad, bercuti kerana didakwa gagal mematuhi peraturan urus tadbir
korporat.
Zakaria kemudian menuduh lembaga pengarah cuba membuat urusan
pelaburan yang "tidak masuk akal", tetapi telah dinafikan oleh lembaga
tersebut.
Sulaiman pula dilantik menjadi pemangku kepada jawatan Isa.
Perdana Menteri kemudian menugaskan bekas menteri, Datuk Seri Idris
Jala untuk menyiasat kemelut itu, yang berakhir dengan menyerap Isa ke
Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Zakaria menghadapi
prosiding tatatertib.
Malaysiakini 24/7/17
No comments:
Post a Comment