Wednesday, July 26, 2017

Suruhanjaya Tenaga: Surcaj elektrik mungkin dikenakan

 | July 26, 2017
Suruhanjaya Tenaga mengingatkan rakyat perlu bersedia dikenakan surcaj kerana rebat yang dinikmati ketika ini tidak akan kekal selamanya.
Energy-Commission1KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Tenaga (ST) berkata, biarpun kerajaan amat prihatin dengan kenaikan tarif elektrik, pengguna seharusnya menyedari rebat yang dinikmati sekarang tidak akan berterusan selamanya dan perlu bersedia dikenakan surcaj.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Kanan Pembangunan Industri dan Kawal Selia Pasaran Elektrik ST, Azhar Omar berkata, memandangkan pemberian rebat itu bukan bersifat kekal, rakyat perlu bersedia dengan kemungkinan itu dan menggunakan tenaga elektrik secara berhemah.
“Walaupun kita sepatutnya mengenakan surcaj, tetapi atas sikap keprihatinan terhadap kesejahteraan rakyat, kerajaan masih menggunakan wang yang ada untuk menampung kenaikan.

“Ini kerana duit yang ada mungkin tidak dapat menampungnya pada masa depan. Rakyat perlu bersedia,” katanya dalam temu bual program “Santai Ekspresi” Bernama Radio, baru-baru ini.
Program bertajuk “Tarif Elektrik Kekal” ini disiarkan pada 6.15 petang, 11 Julai 2017 di frekuensi radio FM 93.9 MHz serta melalui platform media sosial Facebook live.
ST merupakan badan kawal selia industri bekalan elektrik di negara ini.

Mengulas lanjut, Azhar menjelaskan, kerajaan bukannya tidak dapat menanggung kenaikan kos tersebut, sebaliknya sumber kewangan itu sewajarnya digunakan bagi tujuan pembangunan ekonomi dan negara memerlukan banyak sumber kewangan untuk pembinaan hospital dan jalan raya.
“Peranan suruhanjaya ini ialah memastikan bekalan elektrik yang berdaya harap pada harga munasabah dan telah mengambil kira kos membekal elektrik serta pulangan munasabah untuk pihak utiliti, kos bekalan api dan sebagainya.”

Azhar berkata, ST juga tidak mahu syarikat utiliti negara, Tenaga Nasional Berhad (TNB) meraih keuntungan berlebihan, malah ia sedang melakukan audit ke atas TNB serta semua akaunnya bagi memastikan kos ditanggung pada tempoh regulatori pertama munasabah serta efisien, sebagaimana ditetapkan.

“Tempoh regulatori pertama untuk proses semakan tarif akan berakhir 31 Disember 2017. Mulai 1 Januari 2018, kita akan mulakan semakan ke-2 untuk tempoh regulatori ke-2.”
Beliau berkata, dalam perjanjian pembelian tenaga (PPA) generasi pertama, kebanyakan pengeluar penjana bebas (IPP) mencatat sedikit keuntungan.

Atas dasar itu, kerajaan merundingkan kadar ditetapkan sebelum ini dan kebanyakan IPP bersetuju mengurangkan harga.
“Kita kumpul RM1.8 bilion. Selama ini, kita menggunakan dana ini untuk memberi rebat dan sebagainya.
“Sehingga Disember 2017, kita masih mempunyai baki (daripada RM1.8 bilion), tetapi untuk Januari dan seterusnya, saya kena tengok semakan sama ada (berlaku) peningkatan atau tidak,” katanya.
Menurutnya, ST turut menggunakan RM1.3 bilion daripada jumlah dikumpul itu.

Inisiatif lain yang diguna pakai sejajar perubahan persekitaran global itu adalah rebat Ketidakseimbangan Pelepasan Kos Bahan Api (ICPT).
“Dasar rebat ICPT itu ialah untuk mengimbangi kos tidak boleh dikawal pihak utiliti. Ia berkait rapat dengan kos bahan api dunia. Jika ianya tidak dapat dilepaskan dari segi rebat atau surcaj, kos ini terpaksa ditanggung kerajaan,” katanya.

Azhar berkata, bagi membolehkan TNB memberi perkhidmatan baik, ia juga memerlukan pendapatan yang boleh digunakan bagi menampung kos.
“Sekiranya kos asyik meningkat, tetapi pendapatan masih tidak mencukupi, lama-lama ia (TNB) akan tutup, perkhidmatan akan merosot dan kerajaan terpaksa menyelamatkannya.”
FMT

No comments:

Post a Comment