KOTA TINGGI - "Saya minta maaf sebab saya terlibat menaikkan (Datuk
Seri) Najib jadi PM (perdana menteri).. Saya silap sepatutnya saya
angkat Mat Sabu jadi PM,"seloroh mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir
Mohamad ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Raya Pakatan Harapan di
Dewan Chon Moi, disini malam tadi.
Beliau yang juga merupakan Pengerusi Bersatu meluahkan rasa kesal dan
rasa tertipu kerana tidak menyangka Perdana Menteri, Datuk Seri Najib
Razak selaku anak kepada ikon negara yang berjaya membangunkan kawasan
luar bandar termasuklah menubuhkan Felda tidak mewarisi sifat ayahnya.
Menurutnya, beliau adalah antara pihak yang terlibat secara langsung
dengan permulaan skim Felda dan dapat melihat sendiri ketika itu
peneroka berusaha keras masuk ke dalam hutan menebang pokok hanya
menggunakan parang untuk meneroka tanah.
"Apabila kita merdeka kita dapat tubuh kerajaan. Kerajaan beri sokongan
dan bantuan kepada peneroka Felda. Tebas dan tanam pokok getah dan
kelapa sawit sebab itu Felda mampu jadi ladang terbesar dalam dunia.
"Sepatutnya peneroka ini dapat keuntungan yang banyak tetapi malangnya
ramai peneroka kini berhutang bukan sikit tetapi lebih RM100,000
seorang.
"Apa yang berlaku hari ini saham Felda Global Venture (FGV) dah jatuh
harga. Kononnya orang Felda akan jadi jutawan sebaliknya hari ini
peneroka tahu ia satu pembohongan,"katanya.
Tambahnya, Pakatan Harapan mempunyai perancangan sendiri untuk menyelesaikan masalah dihadapi peneroka Felda.
Beliau juga mendakwa tahu kedudukan dan pihak bertanggungjawab yang 'mencuri' duit Felda selama ini.
Katanya, apabila Pakatan Harapan menjadi kerajaan duit tersebut akan dikembalikan kepada rakyat.
"Kita semua tahu antara kerosakan dilakukan kerajaan hari ini ialah Felda. Duit Felda dicuri.
"Tidak sepatutnya Felda rugi sebab dunia tahu Malaysia sebuah negara
yang dapat keuntungan besar dari industri kelapa sawit. Entah macam mana
peneroka alami kerugian dan berdepan hutang yang besar.
"Kami dalam Pakatan Harapan mempunyai perancangan untuk selesaikan
masalah dihadapi peneroka-peneroka. Kita boleh selesaikan masalah ini
kerana kita tahu duit dicuri itu ada dimana. Orang yang mencuri pun kita
tahu,"katanya lagi.
Jelasnya, penubuhan Pakatan Harapan hasil gabungan empat parti itu
bertujuan untuk memperbaiki segala masalah dilakukan kerajaan sekarang
melalui kebolehan yang ada.
Hasrat untuk menghapuskan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) juga
mampu dilakukan Pakatan Harapan kerana parti itu mempunyai pengalaman
dalam pengurusan kewangan negara.
"Pakatan Harapan mengambil berat tentang keadaan negara. Yang kami
minta sikit sahaja pangkah Pakatan Harapan. Selebihnya kami akan buat.
Bila dapat tubuh kerajaan serta merta kami akan kembalikan kegemilangan
negara. Dengan sedikit pangkah itu juga dunia akan kembali memandang
tinggi kepada negara kita,"katanya.
Hadir sama, Presiden Amanah, Mohamad Sabu, Setiausaha Agung PKR, Datuk
Saifuddin Nasution Ismail, Pengerusi DAP negeri, Liew Chin Tong,
Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman.
Terdahulu, beliau yang hadir ditemani isterinya Tun Dr Siti Hasmah
Mohamad Ali turut diraikan dengan kek dan pulut kuning sempena menyambut
hari kelahiran ke dua-dua tokoh itu.
Dalam pada itu, Tun Mahathir turut menyempurnakan pelancaran Pakatan
Harapan Kota Tinggi pada majlis yang dihadiri kira-kira 1,000 tetamu
itu.
No comments:
Post a Comment