18/8/17
Kemampuan sebenar dirinya sebagai pelakon diuji apabila Ezzaty
Abdullah mengakui sangat tertekan untuk membawakan watak Alya dalam
filem Kau Takdirku.
Katanya, keadaan itu menyebabkan dia hampir hilang kewarasan kerana
gagal menghayati watak seperti dikehendaki pengarah, Jason Chong.
Apatah lagi cabaran itu dirasakan teramat besar memandangkan filem berkenaan merupakan penampilan sulungnya di layar perak.
“Memang sedaya upaya cuba mendalami watak yang berat itu, namun apabila gagal saya menangis di luar lokasi penggambaran.
“Saya tidak pernah diuji seteruk itu malah pada waktu sama tidak
boleh fikir mana satu baik atau buruk hingga terdetik melakukan perkara
membelakangkan agama,” kongsi Ezzaty.
Ezzaty, 27, ditemui pada majlis pratonton filem Kau Takdirku di Mutiara Damansara, Petaling Jaya, semalam.
Filem yang bakal ditayangkan pada 7 September depan turut dibarisi pelakon handalan, Bront Palarea dan Remy Ishak.
Kau Takdirku yang memaparkan kisah cinta tiga segi antara dua pemuda dan seorang gadis, menjalani penggambaran tiga tahun lalu.
Tidak kekok kongsi ilmu
Menurut Ezzaty, digandingkan dengan nama besar seperti Bront dan Remy
turut menambah gemuruh kerana khuatir dirinya dilihat ‘kerdil’
berbanding pelakon berkenaan.
“Perasaan
takut timbul apabila mengetahui dua nama besar itu digandingkan dengan
saya tetapi Bront dan Remy tidak kekok berkongsi ilmu yang ada.
“Untuk menghilangkan perasaan itu, saya menghadiri kelas lakonan
selama seminggu dengan ibu Fauziah Nawi supaya tidak menyusahkan orang
lain,” katanya.
Selain berdepan cabaran di lokasi, Ezzaty mengakui turut menghadapi
masalah dengan bekas tunangannya hingga hampir melakukan kesilapan
terbesar dalam hidup.
Bagaimanapun, Ezzaty yang kini bergelar isteri kepada pelakon Azwan Kombos bersyukur tidak tersalah langkah.
“Bukan saja masalah di set, tetapi perlu menyelesaikan masalah dengan
tunang menambah beban tekanan yang perlu saya pikul dan akhirnya kami
berpisah jua.
“Alhamdulillah, berkat tidak tinggal solat dan berdoa, Allah bantu
berikan kekuatan dan petunjuk untuk saya tempuhi dugaan terbesar dalam
hidup saya,” katanya yang kini hamil enam bulan.
Malaysiakini
No comments:
Post a Comment