Pembangkang boleh menang separuh kerusi di Sabah
melalui kerjasama dengan parti tempatan dan Pakatan Harapan tidak
memasuki negeri itu.
PUTRAJAYA: Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad yakin
gabungan pembangkang boleh memenangi separuh kerusi DUN dan Parlimen di
Sabah pada pilihan raya umum ke-14 nanti.
Keyakinan itu berdasarkan kepada kerjasama kuat dengan sebuah parti
tempatan di Sabah, katanya pada sesi bertemu pengundi di Yayasan
Kepimpinan Perdana hari ini.
“Sekarang ini, Sabah dan Sarawak mempunyai sifat kenegerian yang
kuat. Mereka tidak suka didominasi oleh parti daripada Semenanjung. Jika
kita pergi ke sana, ia akan dilihat kita cuba mendominasi dan kita tak
mahukan itu.
“Kita mahu bekerja bersama. Kita ada parti di Sabah yang sangat
menyokong kita. Setakat ini, saya rasa kita boleh menang separuh
daripada kerusi Parlimen dan DUN di Sabah,” katanya.
Beliau menjawab pertanyaan peserta yang ingin mengetahui apakah perancangan PH di Sabah dan Sarawak pada PRU14 nanti.
Mengenai Sarawak pula, bekas perdana menteri mengingatkan keadaan
politik di Bumi Kenyalang berbeza dengan keadaan politik di Sabah.
“Mereka selalunya suka memihak kepada pihak yang menang,” kata Dr Mahathir.
Dr Mahathir turut diajukan soalan mengenai autonomi Sabah dan Sarawak
sekiranya gabungan pembangkang memenangi pilihan raya nanti.
Bekas perdana menteri itu percaya Sarawak dan Sabah perlu diberikan
kuasa lebih luas, namun tidak boleh membawa kepada kebebasan penuh
daripada Persekutuan Malaysia.
“Kita perlu beri Sarawak lebih autoriti dalam sesetengah kawasan
tetapi bukan jenis autonomi yang bermaksud anda boleh bergerak secara
bebas.
“Kerana kemudian ia bermaksud anda memutuskan hubungan dengan
Malaysia sebagai persekutuan. Perkara sama berlaku dengan Sabah,”
katanya. FMT
No comments:
Post a Comment