(Ubah saiz teks)
KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri
Datin Seri Rosmah Mansor memohon untuk membatalkan saman yang difailkan
keluarga penyiasat persendirian mendiang P. Balasubramaniam.
Saman itu difailkan balu Balasubramaniam iaitu A. Santamil Selvi dan
tiga anaknya selaku plaintif terhadap pasangan suami isteri itu dan
tujuh individu yang lain berhubung dakwaan kehilangan pendapatan kerana
terpaksa menjalani kehidupan dalam buangan di India selama lima tahun
sejak 2008.
Peguam Nor Hazira Abu Haiyan, yang mewakili perdana menteri dan isteri
memberitahu pemberita bahawa Najib dan isteri memfailkan permohonan
untuk membatalkan saman pada 10 Ogos lepas, atas alasan plaintif tidak
mempunyai kausa tindakan munasabah terhadap mereka berdua.
“Plaintif juga tidak mempunyai locus standi dan tindakan saman yang
difailkan adalah remeh, menyusahkan dan merupakan suatu penyalahgunaan
proses mahkamah,” katanya selepas pengurusan kes di dalam kamar Hakim
Mahkamah Tinggi Datuk Hue Siew Kheng hari ini.
Selain Najib dan isteri, tujuh lagi individu iaitu dua adik Najib,
Datuk Ahmad Johari Tun Abdul Razak dan Datuk Mohd Nazim Tun Abdul Razak;
peguam, Tan Sri Cecil Abraham dan anaknya, Sunil Abraham; Pesuruhjaya
Sumpah, Zainal Abidin Muhayat; ahli perniagaan, J. Deepak dan peguam M.
Arunampalam kesemuanya selaku defendan turut memfailkan permohonan bagi
membatalkan saman itu.
Sementara itu, peguam Americk Sidhu mewakili kesemua plaintif berkata
mahkamah menetapkan 25 September ini untuk mendengar permohonan kesemua
defendan bagi menggugurkan kelayakannya (Americk) daripada mewakili
keluarga berkenaan.
Americk berkata kesemua defendan mahu menggugurkannya berikutan beliau
pernah menarik diri daripada mewakili keluarga itu ketika rayuan di
Mahkamah Persekutuan dalam saman asal yang difailkan plaintif pada 23
Jun 2014.
Pada 2 Disember 2015, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan empat
beranak itu untuk kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan
yang membatalkan notis rayuan mereka pada 24 April tahun sama. Mahkamah
Tinggi membatalkan saman berkenaan pada 11 Disember 2014.
Pada 13 Julai 2017, Santamil Selvi dan bersama tiga anaknya, B. Kishen,
B. Menaga dan B. Reeshi sekali lagi memfailkan saman bagi pihak
mendiang dengan menamakan kesemua individu sama sebagai defendan bagi
menuntut kerugian yang ditanggung mereka sepanjang berada di Chennai,
India selama 56 bulan dari 4 Julai 2008 sehingga Balasubramaniam, 53,
meninggal dunia akibat serangan jantung pada 15 Mac 2013.
Dalam pernyataan tuntutan, Santamil Selvi juga mendakwa anggota
keluarganya secara salah dibuang ke luar negara selepas pendedahan
Balasubramaniam berkaitan dua akuan berkanun dalam kes pembunuhan wanita
Mongolia, Altantuya Shaariibuu.
Mereka memohon ganti rugi berjumlah hingga RM840,000 termasuk kos
menyewa sebuah apartmen di Chennai, India, yuran sekolah, dan kehilangan
pendapatan sebagai guru tadika, pinjaman perumahan, kos pengangkutan,
ganti rugi am, ganti rugi khas dan kos. - Bernama
No comments:
Post a Comment