Usaha itu dilakukan beberapa anggota exco FAM yang seringkali tidak sependapat dengannya, kata Tunku Ismail.
JOHOR BAHRU: Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim
hari ini mendedahkan terdapat cubaan beberapa exco dalam Persatuan Bola
Sepak Malaysia (FAM) yang cuba menyingkirnya daripada jawatan presiden
FAM.
TMJ menegaskan usaha-usaha itu dilakukan beberapa anggota exco FAM
yang seringkali tidak sependapat dengannya dalam soal menguruskan hal
bola sepak negara.
“Sebagai presiden, saya tahu benda ini tengah berlaku tetapi selagi
saya berada dalam FAM, jangan haraplah,” tegas TMJ kepada pemberita
selepas merasmikan Kongres Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) hari
ini.
Tunku Ismail menegaskan usaha menyingkirkan beberapa individu dalam
pucuk kepimpinan tertinggi bola sepak Malaysia itu, tidak hanya terhadap
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kerjasama Liabiliti Bola Sepak Malaysia
Berhad (FMLLP) Kevin Ramalingam, malah turut dihadapinya sendiri.
TMJ berkata demikian ketika diminta mengulas kononnya terdapat cubaan
untuk menyingkirkan Kevin Ramalingam daripada FMLLP, seperti yang
dilaporkan sebuah akhbar berbahasa Inggeris hari ini.
Dalam perkembangan lain, Tunku Ismail bertitah beberapa penstrukturan akan dilakukan dalam kelab JDT tahun depan.
Penstrukturan ini termasuk melantik bekas pemain pasukan itu Luciano
Figueroa sebagai duta kelab dan duta hubungan antarabangsa selain
menjadikan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Azmi Rohani sebagai
Pengerusi Yayasan JDT.
Tunku Aminah Sultan Ibrahim, Datuk Ismail Karim, Alistair Edwards dan
Martin J Hugo Prest pula, masing-masing kekal sebagai presiden Kelab
JDT, presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), pengarah
teknikal JDT dan pengarah sukan JDT.
TMJ bertitah penstrukturan itu akan membolehkan JDT mendapat lebih
banyak penajaan daripada syarikat-syarikat antarabangsa serta mencatat
bukan sekadar pencapaian di atas padang, malah di luar padang.
Mengenai pemain import baharu pada musim depan, Tunku Ismail yang
juga pemilik kelab JDT bertitah seorang atau 2 pemain dijangka dibawa
masuk bagi memperkuatkan pasukan berkenaan. FMT
No comments:
Post a Comment