Walaupun telah bersara daripada politik
pada 2009, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata beliau masih digesa supaya
menjadi menteri supaya dapat terus menyumbang terhadap negara ini.
“Ramai yang fikir saya patut terus berada dalam barisan kabinet. Tapi
saya bersyukur kepada Allah saya tidak lagi dalam barisan kabinet.
"Lihat saja dunia hari ini, saya rasa saya tak boleh nak handle (tangani)," kata bekas menteri dan anggota Majlis Tertinggi Umno itu dipetik sebagai berkata.
Syed Hamid, 73, menjelaskan ledakan maklumat yang dipenuhi dengan
berita dan maklumat palsu dan cepat tular mudah mempengaruhi pemikiran
rakyat.
Itu, katanya, antara cabaran utama pemimpin-pemimpin yang ada sekarang, sama ada di pihak kerajaan atau pembangkang.
Perkara itu menjadi cabaran utama tidak kira di pihak kerajaan atau pembangkang.
Berucap semasa majlis Legasi 60 tahun Malaysia di Wisma Bernama di
ibu negara baru-baru ini Syed Hamid berkata sebagi pemimpin seseorang
itu harus yakin dengan apa yang dianugerahkan tuhan kepada mereka dan
pasti ada hikmahnya.
Beliau yang berpengalaman menganggotai kabinet selama 20 tahun di
bawah tiga perdana menteri berkata sejak sekian lama dunia ini -
terutama dalam bidang politik - dipenuhi dengan persepsi.
Anak Allahyarham Syed Jaafar Albar - yang digelar sebagai Singa Umno -
itu juga menceritakan bagaimana beliau tidak pernah terfikir menceburi
bidang politik sebaliknya hanya berminat untuk menjadi seorang peguam
sejak kecil.
Ketepi rasa kecewa
Hal itu disebabkan beliau berpandangan, polis tidak menjalankan tugas
seperti yang sepatutnya. Justeru, katanya, undang-undang sangat perlu
untuk mempertahankan apa yang beliau percaya sebagai hak orang ramai.
"Persepsi itu timbul apabila polis telah menahan saya disebabkan
mercun yang dimainkan oleh orang lain. Ia telah membina satu persepsi
negatif terhadap polis.
"Hingga hari ini pun dunia ini dipenuhi persepsi terutama dalam politik sendiri," katanya.
Syed Hamid memiliki ijazah undang-undang dari Inns Of Court, London
pada 1970. Selepas bersara daripada politik, beliau dilantik kerajaan
menjadi pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) sejak 2010
hinggalah digantikan oleh Tan Sri Isa Samad pada Jun lalu.
Beliau berkata, Tun Dr Mahathir Mohamad adalah orang yang
bertanggungjawab menawarkannya bertanding di kerusi parlimen Sungai
Benut, Johor, yang kini dikenali sebagai Simpang Renggam pada 1980-an.
Selepas bersetuju dan persiapan dibuat namanya digugurkan dan diganti
dengan Mohamed Tawfik Tun Dr Ismail iaitu anak sulung Allahyarham Tun
Dr Ismail Abdul Rahman.
Walaupun persiapan lengkap sudah berjalan, termasuk gambar yang
ditempah untuk dibuat poster, Syed Hamid mengetepikan rasa kecewa malah
turun padang membantu Mohamed Tawfik berkempen demi memastikan
kemenangan BN.
"Orang sekarang saya fikir apabila nama dah dicalonkan, dah buat
persiapan semua... apabila tak dapat bertanding pasti akan kecewa dan
akan lompat ke parti lain.
"Saya tak masuk parti lain sebab saya percaya itu bukan rezeki saya," katanya.
No comments:
Post a Comment