KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) menerusi Bajet Alternatif 2018
mengulangi hasrat untuk memansuhkan cukai barangan dan perkhidmatan
(GST) dan mengembalikan subsidi bahan api.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ketika
mengumumkan Bajet Alternatif di luar Dewan Rakyat berkata, hasrat
menghapuskan GST dan mengembalikan cukai jualan dan perkhidmatan pada
2018 bukan tindakan populis, sebaliknya bertujuan meremajakan
penggunaan.
“Niat kami adalah untuk mengembalikan RM25.50 bilion ke dalam ekonomi
dan membantu meringankan situasi suram ekonomi bagi semua orang,”
katanya hari ini.
Presiden PH itu berkata, subsidi minyak perlu diberikan kepada rakyat kerana Malaysia ialah pengeluar minyak.
“Untuk itu kami mencadangkan subsidi minyak sekitar RM1 bilion pada 2018.
“Ini bermakna pengurangan 20 sen seliter untuk sejumlah 5.4 bilion liter petrol bersubsidi.”
Bagaimanapun, katanya, PH tidak bercadang mengembalikan subsidi gula
atas faktor kesihatan, tetapi akan mengekalkan pemberian Bantuan Rakyat
1Malaysia (BR1M).
Beliau berkata, PH mengiktiraf BR1M berupaya membantu golongan
memerlukan, tetapi mencadangkan penerimanya melakukan sesuatu yang
positif bagi meningkatkan produktiviti mereka.
“Contohnya kami mungkin akan memberikan bayaran BR1M, bersyarat
penerimanya mesti bekerja dan kekal bekerja sekurang-kurangnya 3 bulan.”
Wan Azizah berkata, PH juga akan mensyaratkan penerima BR1M
menggunakan bantuan kewangan itu untuk perbelanjaan seisi keluarga,
seperti membayar bil utiliti dan pendidikan.Sign In
“Untuk itu, kami perlu bekerjasama erat dengan pasar raya dan
pembekal utiliti, oleh itu kami akan memperbaiki bantuan BR1M pada 2018
dan menggunakan jumlah RM5.4 bilion yang sama seperti kerajaan pusat
bagi program bantuan sosial ini,” katanya.
FMT 25/10/17
No comments:
Post a Comment