Kerajaan negeri membuat laporan polis terhadap Jamal kerana mengganggu gugat urusan di pusat pentadbiran negeri.
PETALING JAYA: Pentadbiran Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin
Ali hari ini menyifatkan Datuk Seri Jamal Md Yunos “lebih teruk dari
orang mabuk” kerana mencetuskan kekecohan di pusat pentadbiran negeri
pagi tadi.
Setiausaha Politik Menteri Besar, Shuhaimi Shafiei berkata kejadian
pagi tadi bukan kali pertama Jamal mencetuskan kekecohan maka pihaknya
merasakan perlu membuat laporan polis terhadap Ketua Umno Sungai Besar
itu.
“”Jamal tak minum tetapi lebih teruk dari orang mabuk,” kata Shuhaimi
kepada FMT. “Kita juga mahu polis ambil tindakan terhadap Jamal yang
bertindak samseng membawa tukul besi ke SUK.”
“Seharusnya polis mengambil tindakan kerana berulang kali dia
melakukan perbuatan ini. Ini kawasan awam dan polis perlu ambil tindakan
segera dan bertanggungjawab,” tambahnya.
Jamal membawa 10 kotak berisi kira-kira 100 botol minuman keras ke
pintu masuk Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor.
Jamal yang tiba bersama kira-kira 10 ahlinya bertindak memecahkan
botol minuman keras di pintu pagar utama pusat pentadbiran negeri itu.
Aktiviti pagi tadi itu simbolik bantahan terhadap penganjuran pesta arak di Selangor.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Shafien Mamat berkata
kes disiasat di bawah Seksyen 143 Kanun Keseksaan kerana berhimpun
secara haram.
“Saya mengesahkan menerima laporan,” katanya kepada pemberita hari ini.
Semalam, Azmin berkata sebuah pesta makanan dan minuman Jerman, yang
dijadual berlangsung di sebuah pasar raya di Klang minggu depan, boleh
dibenarkan asalkan menepati syarat dan peraturan ditetapkan polis serta
Majlis Perbandaran Klang (MPK).
Pada Isnin lepas, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun
berkata pihaknya kekal dengan pendirian untuk tidak membenarkan
penganjuran pesta itu ekoran wujud ancaman militan. FMT
No comments:
Post a Comment