5/10/17
Kerajaan Pahang menyiasat penganugerahan Darjah Indera Mahkota Pahang
(DIMP) yang membawa gelaran Datuk kepada seorang pelakon yang disiasat
berhubung kes penipuan penjualan rumah membabitkan nilai RM6.2 juta.
Setiausaha kerajaan negeri Datuk Seri Muhammad Safian Ismail berkata,
tindakan awal telah diambil dengan menyemak sekiranya nama pelakon itu
pernah disenaraikan sebagai seorang daripada penerima penganugerahan
darjah atau pingat kebesaran daripada istana Pahang.
"Semua dalam siasatan. Tindakan boleh diambil jika (pelakon itu)
menggunakan gelaran Datuk tanpa pertauliahan. Jika benar gelaran
tersebut diberikan, setiap penerima perlu menjaga etika dan kemuliaannya
agar institusi istana terpelihara," katanya.
Muhammad Safian berkata demikian kepada pemberita semasa ditemui pada
Perbarisan Perasmian Latihan Kem Tahunan 2017 Rejimen 505 Askar
Wataniah, Sungai Miang di Pekan, hari ini, yang disempurnakan Pemangku
Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan akan membawa perkara itu kepada
pengetahuan Sultan Pahang untuk tindakan selanjutnya seperti penarikan
semula gelaran tersebut.
Sehubungan itu, Muhammad Safian menasihatkan semua penerima darjah
atau pingat kebesaran dari istana Pahang untuk menjaga etika dan
berkelakuan sopan bagi menjaga kemuliaan pemberian gelaran itu dan
institusi kesultanan.
Pada 3 Oktober lalu, media melaporkan seorang pelakon berstatus Datuk
ditahan bersama dua individu lain berikutan 188 laporan polis oleh
individu yang mendakwa ditipu dua syarikat yang menawarkan rumah kepada
pembeli pada harga yang lebih rendah daripada harga pasaran.
Bagaimanapun, syarikat berkenaan didakwa tidak menjalankan pembinaan
rumah seperti yang dijanjikan selepas pembeli melunaskan pembayaran.
Malaysiakini

No comments:
Post a Comment